Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 30 September 2013

TUGASAN SESI BELAJAR DI RUMAH 4 WAGNER (SET 3)



Usaha untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda lebih berkesan sekiranya dimulakan di rumah. Bincangkan peranan yang dapat dilakukan oleh ibu bapa untuk memupuk nilai-nilai murni yang jitu dalam diri anak-anak. Panjangnya karangan anda hendaklah melebihi 350 patah perkataan.

Cadangan isi:

1)      memberikan pendidikan agama dan moral sejak kecil
- supaya jiwa anak-anak terdidik dengan elemen-elemen kerohanian.
2)      menjadi suri teladan
- memberi contoh yang baik kepada anak-anak
- mesti sentiasa bersikap positif dan berakhlak mulia
- agar menjadi ikutan anak-anak.
3)      mendorong anak-anak terlibat dalam kerja-kerja kebajikan atau kesukarelawanan
- anak-anak lebih memahami penderitaan insan yang kurang bernasib baik.
4)      mendidik anak-anak menghormati orang lain
- penggunaan panggilan yang sesuai
- intonasi suara ketika berkomunikasi dengan pihak tertentu, dan lain-lain.

TUGASAN SESI BELAJAR DI RUMAH 4 WAGNER (SET 2)



Latihan 1: Kefahaman Petikan Prosa Tradisional (MERAH SILU).

Baca petikan prosa di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

                Tinggallah Merah Silu dengan Merah Hasum berdua saudara dan saki-baki rakyat yang masih hidup. Mereka menyembah mengaku akan taat setia kepada anak raja kedua itu untuk terus tinggal di dalam negeri itu.
                Tiada beberapa lama kemudian, Merah Silu berkata kepada saudaranya, Merah Hasum itu, “Hai saudaraku, betapa bicara kita kerana kita ini hanya dua bersaudara tinggal kerana nenek dan ibu bapa kita telah hilang dalam negeri Semerlanga ini! Jikalau kita diam dalam negeri ini, sekali-kali tiada memberi manfaat kepada kita. Baiklah kita pindah dari negeri ini mencari tempat yang baik supaya kita dapat diam di sana.”
                Setelah putus bicara dua bersaudara itu, pada ketika yang baik mereka pun keluar meninggalkan negeri Semerlanga. Mereka mengikut jalan arah matahari mati. Mereka berhenti di sebuah tempat, dan  kemudian meneruskan pejalanan. Dengan takdir Allah S.W.T,mereka sampai di sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan dan diam di sana, di sebelah-menyebelah sungai itu.

(i)         Berikan  maksud rangkai kata mengikut jalan arah matahari mati.                     [2 markah]
(ii) Mengapakah Merah Silu mengajak Merah Hasum meninggalkan negeri Semerlanga?                                                                                                                                   [3 markah]
(iii)       Pada pendapat anda, apakah  ciri-ciri yang dimiliki oleh negeri Beruana yang menyebabkan Merah Silu dan Merah Hasum memilih negeri berkenaan untuk dijadikan kampung?
Nyatakan tiga ciri berkenaan.                                                                                                  [3 markah]

Latihan 2: Kefahaman Petikan Prosa Tradisional (HIKAYAT INDERA NATA).

Baca petikan prosa di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Setelah  itu maka Indera Nata dan tuan puteri yang tujuh itu pun turunlah ia dari atas mahligai menunggng gajah itu. Maka segala perkakasan di dalam mahligai itu pun habislah dibawanya.
                Setelah sudah maka Indera Nata pun berjalanlah di tanah menghelakan gajah itu. bermula adapun tuan puteri yang tujuh orang itu duduklah di atas gajah itu dan tiada berapa antaranya berjalan itu masuk hutan terbit hutan padang masuk padang maka ia pun sampai ke tepi laut.
                Sebermula maka tersebutlah perkataannya raksasa mencari kijang putih itu. Maka ia pun tiadalah betremu dan beberapa gunung yang besar-besar habislah dijalaninya daripada sakit hatinya mencari kijang itu. Setelah demikian maka ia pun marahlah akan tuan puteri itu lalulah ia segera berjalan pulang melihat isterinya yang membasuh kain hitam itu. Maka didapatinya lagi isterinya membasuh kain hitam itu. Mula-mula habislah koyak-koyak tiada juga mahu putih.

(i)         Berikan maksud rangkai kata tiada berapa antaranya.                                   [2 markah]
(ii)        Mengapakah raksasa berasa sangat sakit hati?                                                   [2 markah]
(iii) Sekiranya anda tuan puteri, bagaimanakah anda membalas jasa Indera Nata yang telah menyelamatkan anda daripada raksasa itu? Berikan dua cara yang relevan.              
                                                                                                                                                           [4 markah]

Latihan 3: Kefahaman Petikan Prosa Tradisional (HIKAYAT KHOJA MAIMUN).

Baca petikan prosa di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

                Maka bayan itu pun diambil oleh Bibi Zainab lalu dibawanya pulang ke rumahnya serta diperbuatkan sangkarnya terlalu indah-indah perbuatannya.
                Sebermula adapun akan Khoja Maimun laki isteri itu, maka segala sanbal di dalam negeri Ajam itu habislah dibelinya. Setelah genap tiga hari datanglah khalifah dari negeri Babil hendak membeli dagangan sanbal itu, maka tiadalah diperolehnya kepada tempat lain lagi melainkan kepada Khoja Maimun juga yang ada menaruh sanbal itu. Maka Khoja Maimun pun terlalu amat sukacitanya daripada neroleh laba ganda-berganda itu. Maka Khoja Maimun pun membayarlah harga Bayan itu. Setelah keesokkan hari, maka Khoja Maimun berjalan pula ke pecan. maka ia pun bertemu dengan orang berjual Tiung betina, lalu dibelinya dan dibawanya pulang ke rumahnya lalu ditaruhnya di dalam sangkaran Bayan itu.

(i)         Berikan maksud rangkai kata terlalu indah-indah perbuatannya.                      [2 markah]
(ii)        Bagaimanakah Khoja Maimun banyak beroleh keuntungan yang berganda-ganda?  
                                                                                                                                                                   [2 markah]
(iii)       Sekiranya anda ahli perniagaan, apakah tindakan yang boleh  anda ambil untuk melariskan produk jualan anda itu? Kemukakan dua cara yang sesuai.                                                     [4 markah]

TUGASAN SESI BELAJAR DI RUMAH 4 WAGNER (SET 1)



Latihan 1: Karangan Berpandu.

Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah membeli barangan buatan Malaysia. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

FAEDAH MEMBELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA

Latihan 2: Latihan rumusan dan kefahaman.

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan  tentang langkah-langkah untuk membantu meringankan beban golongan kurang upaya dan masalah-masalah yang dihadapi untuk  melaksanakannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa  masih terdapat segelintir masyarakat kita yang menganggap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara kita disifatkan sebagai orang yang tidak berguna atau tidak berupaya. Mereka hanya tahu menagih simpati daripada masyarakat bagi meneruskan kehidupan. Sesungguhnya, tanggapan negatif seperti itu amat mendukacitakan dan tidak berperikemanusiaan. Mereka lupa bahawa golongan tersebut juga merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai perasaan, kebolehan, keterampilan, bakat dan kepintaran  dalam pelbagai bidang seperti manusia normal yang lain.
                Dalam hal ini, kerajaan akan menubuhkan lebih banyak pusat pemulihan komuniti bagi OKU dalam RMK-9. Pusat yang dikenali sebagai Pusat Khidmat Setempat akan menyediakan perkhidmatan  yang lebih komprehensif untuk kegunaan mereka. Selain itu akta OKU akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya mereka hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Pada masa yang sama, program mengintegrasikan OKU dalam masyarakat diharap boleh memberi peluang kepada mereka menjalin kehidupan yang normal. Selain itu kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan menerajui sendiri urusan persatuan  masing-masing dengan merancang dan menjalankan aktiviti secara bersama-sama. Kerajaan amat berbangga dan memberi sokongan terhadap usaha-usaha tersebut.
Bagi sektor awam, di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988, satu peratus peluang pekerjaan diperuntukkan kepada OKU. Sehingga kini pelbagai jenis pekerjaan dijawat oleh golongan istimewa ini daripada peringkat kumpulan sokongan sehinggalah ke peringkat profesional. Sektor awam dan sektor swasta perlulah menyediakan lebih banyak latihan  serta peluang menceburi  bidang keusahawanan agar golongan OKU mampu berdikari. Untuk melahirkan sumber tenaga manusia  yang berpengetahuan dan berkemahiran  selari dengan keperluan semasa, penekanan terhadap bidang pendidikan dan latihan kemahiran terus diberi keutamaan oleh pihak kerajaan. Antara cadangan yang diutarakan ialah menubuhkan unit khas di Kementerian Pembangunan Usahawan untuk membantu golongan OKU yang terlibat dalam bidang perniagaan. Kurikulum khas juga digubal dengan memasukkan elemen keusahawanan pada peringkat kursus dan latihan vokasional. Kerajaan juga memperkenalkan skim bantuan modal oleh institusi kewangan seperti Bank Pertanian, MARA dan sebagainya untuk membantu golongan itu.
Menteri Belia dan Sukan turut menyeru syarikat-syarikat swasta supaya mewujudkan kerjasama pintar dengan badan-badan OKU untuk aktiviti pembangunan para atlet dari segi kelengkapan sukan. Kita harus menerima golongan OKU seperti manusia normal yang lain, di samping memberi peluang untuk mereka menonjolkan bakat dan kebolehan yang ada pada mereka. Kejayaan yang dicapai oleh golongan ini telah membuktikan bahawa mereka juga dapat bersama-sama dengan golongan normal memberi sumbangan ke arah pembangunan dan kemajuan diri serta negara.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada“Sumbangan Orang Kurang Upaya Kepada Negara”
oleh Hj. Samat Buang, Dewan Siswa, Ogos 2006)

Soalan 2(a)  -  Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                  Berikan maksud rangkai kata menagih simpati daripada masyarakat.
[2 markah]
(ii)                Mengapakan golongan OKU perlu diberi bantuan oleh pelbagai pihak ?                        [3 markah]

(iii)               Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat masih memandang serong terhadap kemampuan golongan OKU dalam memberikan sumbangan terhadap negara?
[4 markah]