1) Peranan pelbagai pihak untuk menggalakkan industri
pelancongan di Malaysia.
Dasawarsa, sektor pelancongan
telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal
ini terbukti apabila Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta
pelancong asing telah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya
menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak
RM150 juta telah diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara. Oleh
yang demikian, bagi memastikan sektor pelancongan terus mekar, pelbagai pihak
perlu memainkan peranan yang aktif untuk berganding bahu memajukan sektor ini.
Dalam usaha untuk memasarkan
jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan
melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada
warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Tamsilannya, baru-baru
ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian
Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan
kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat
daripada warga negara berkenaan. Selain
itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran
pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti
negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Tuntasnya, promosi yang telah
diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia.
Pada
masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk
pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada.
Marcapada, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan
dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai kerana rambut sama
hitam, hati lain-lain. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan
melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor
ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti
Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai
Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan
agropelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan
Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk
memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang
perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik
minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan
pelbagai kursus bertaraf dunia. Deduksinya, produk pelancongan yang pelbagai
ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaiatu “Segala-galanya
terdapat di Malaysia”.
Selain
kerajaan, para pengusaha pelancongan telah diseru agar meningkatkan kualiti
perkidmatan mereka. Oleh yang demikian, operator pelancongan perlu bergerak
seiring dengan prakarsa kerajaan menarik kemasukan pelancongan dengan memastikan perkhidmatan yang
ditawarkan selari dengan harapan pelancong yang datang. Kita tidak mahu senario,
indah khabar dari rupa akan menjahanamkan usaha promosi yang telah dilakukan.
Maka, para pengusaha tempat penginapan hendaklah menyediakan kemudahan yang
kondusif selari dengan kehendak pelancong sama ada melibatkan hotel bertaraf
lima bintang mahu pun penginapan inap desa. Seterusnya, para pengusaha
pengangutan awam seperti pemandu teksi dan bas pelancongan diingatkan agar
menyediakan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan dan memberikan layanan yang
mesra kepada para pelancong. Sikap buruk sesetengah pengusaha perkhidmatan pengangkutan
awam amat kita kesali kerana telah merosakkan imej negara. Kita tidak mahu
kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tidak kurang penting ialah
kebersihan tandas-tandas awam perlu dititikberatkan kerana elemen berkenaan
akan menggambarkan mentaliti rakyat tempatan. Tegasnya, pengusaha pelancong
yang bertindak sebagai barisan hadapan industri pelancongan wajar menyediakan
perkhidmatan yang bertaraf dunia sesuai dengan taraf negara sebagai negara
membangun yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju.
Tidak
dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada
usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Oleh itu,
mahajana hendaklah menyokong aktiviti pelancongan domestik kerana bertepuk
sebelah tangan, tak akan berbunyi. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada
para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi
bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka
dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong,
rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai
pilihan. Mereka janganlah bersikap seperti kera di hutan disusui, anak di rumah
mati kelaparan apabila terlalu taksub untuk melancong ke luar negara.
Intihanya, warga tempatan diharapkan agar lebih bersikap patriotik untuk memacu
pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.
Konklusinya,
budaya bahu-membahu antara pihak kerajaan, swasta, dan warga tempatan penting
demi kelangsungan sektor pelancongan domestik. Kita berkeyakinan bahawa pada
masa akan datang adalah tidak mustahil industri pelancongan tempatan akan standing
dengan negara-negara yang telah sedia tersohor dalam bidang pelancongan. Oleh
itu, kita berharap agar destinasi
pelancongan seperti Pulau Langkawi akan setanding dengan Pulau Bali di
Indonesia. Akhirul kalam, impak daripada kemakmuran sektor pelancongan sudah
pasti akan menguntungkan rakyat tempatan yang akan menerima tempias limpahan
rezekinya.
2) Faedah/ Kepentingan/
Kelebihan melancong dalam negara.
Kata
orang, “Jauh berjalan, luas pandangan” yang bermaksud semakin banyak kita
mengembara, maka semakin banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang
yang suka melancong ke luar negara untuk melihat budaya dan rupa bentuk bumi
negara orang. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya, wajarkah kita
mengenepikan destinasi pelancongan di negara sendiri apabila berhajat untuk
berdarmawisata? Oleh yang demikian, kita harus sedar bahawa banyak kemaslahatannya
jika kita sebagai warga Malaysia melancong dalam negara.
Sedar
atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang
untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan
warisan negara. Tamsilannya, negara kita kaya dengan pelbagai keindahan khazanah
alam semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka
Bandar raya Bersejarah, dan Georgetown yang telah diiktiraf sebagai Tapak
Warisan Dunia oleh UNESCO. Sementelahan pula, masyarakat majmuk di negara kita
telah mewujudkan kepelbagaian budaya dari segi kesenian, perayaan, dan makanan.
Dengan kata lain, kita akan lebih memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum rakyat
Malaysia jika melancong dalam negara. Oleh yang demikian, akan timbullah
perasaan bangga dan cinta akan tanah air. Pendek kata, usahlah kita bersikap
seperti lembu yang sentiasa melihat rumput di seberang lebih hijau daripada
rumput-rumput yang sedang diragut.
Di
samping itu, pertambahan bilangan pelancong domestik mampu menjana pertumbuhan
ekonomi negara. Hal ini, secara tidak langsung akan menambah peluang pekerjaan
dan perniagaan. Misalnya, industri perhotelan, taman tema, restoran, dan pusat
beli-belah yang sinonim dengan industri pelancongan akan menawarkan banyak peluang pekerjaan dan
perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang kerjaya boleh dicipta
daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian khidmat pelanggan. Buktinya,
sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion
keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada
tahun 2011. Izharnya, bagi menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK, kita
tidak boleh terlalu bergantung kepada kemasukan pelancong asing yang dipengaruhi
oleh banyak faktor seperti wabak penyakit dan keselamatan global. Tuntasnya,
pelancong tempatan memberikan impak yang besar kepada kemajuan industri
pelancongan domestik.
Jika kita renungkan sejenak, kita akan
mendapati bahawa apabila kita melancong dalam negara kita dapat menjimatkan
kos. Realitinya, jika berhajat untuk melancong ke luar negara, kita memerlukan
bajet yang besar untuk tambang pengangkutan, tempat penginapan, dan makan
minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika melibatkan kadar tukaran wang
kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati, kadar tukaran wangnya lebih
tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun, Korea, Singapura dan Britian.
Kelebihan yang kita peroleh apabila melancong dalam negara ialah ghalibnya kita
diberikan potongan harga atau diskaun oleh pihak hotel atau pihak pengurusan
taman tema. Malahan, kita boleh memandu kenderaan sendiri untuk bergerak dari
suatu destinasi ke suatu destinasi, bukankah itu akan menyelamatkan bajet kita.
Deduksinya, jika hendak melancong
ukurlah baju di badan sendiri kerana jika kita melancong dalam negara, kita
tidak perlu berbelanja besar.
Tambahan
pula, aktiviti melancong dalam negara mampu menjadi wadah untuk merapatkan
hubungan kekeluargaan. Hal ini disebabkan kos melancong dalam negara yang
secara relatifnya lebih murah daripada melancong ke luar negara. Oleh itu, ibu
bapa boleh membawa ahli keluarga dalam bilangan yang lebih besar, terutamanya
anak-anak. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi pelbagai
destinasi pelancongan pilihan, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak
dan sekali gus akan memperkukuh ikatan kekeluargaan ibarat sambil menyelam
minum air. Ringkasnya, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa ambillah peluang
yang ada untuk membawa anak-anak melancong untuk menyuburkan ikatan ukhuwah
antara ahli keluarga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya.
Konklusinya,
pelancong domestik mampu memacu kepada iklim ekonomi yang memberangsangkan.
Pada masa yang sama dapat menyemai semangat patriotik yang seterusnya
memperkukuh jati diri rakyat tempatan. Oleh itu, pelbagai prakarsa untuk memajukan
industri pelancongan domestik hendaklah disokong oleh warga tempatan demi
kelestarian industri berkenan. Janganlah kita menjadi sokong yang membawa
rebah. Akhirul kalam, melanconglah agar kita tidak menjadi seperti katak di
bawah tempurung.
3) Kelebihan Malaysia sebagai
destinasi pelancongan.
Marcapada, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai
antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila Kementerian
Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing telah berkunjung
ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40
bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak RM150 juta telah diperuntukan untuk
mempromosikan Malaysia di luar negara. Statistik yang ditunjukkan menunjukkan
bahawa negara kita semakin mendapat tempat dalam kalangan warga asing untuk
dilawati. Persoalannya, apakah keistimewaan Malaysia yang menyebabkan pelancong
asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka?
Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia memiliki
pelbagai tempat yang menarik yang mampu menggamit kedatangan pelancong asing.
Kita berasa bertuah kerana bumi tercinta ini memiliki pantai yang memutih dan
indah dengan udaranya yang nyaman seperti Pantai Chenang di Langkawi, Pantai
Teluk Chempedak di Pahang dan Pantai Karambunai di Sabah. Bagi pencinta hidupan
marin, maka sudah pasti mereka boleh memilih destinasi selaman yang diiktiraf
di peringkat antarabangsa sebagai antara yang tercantik di dunia seperti Pulau
Sipadan di Sabah dan Pulau Perhentian di Terengganu. Selanjutnya, untuk para
pencinta alam semula jadi, Malaysia mempunyai hutan rimba yang berusia jutaan
tahun, tamsilannya Hutan Belum di Perak, Mensilau-Basin di Sabah dan Hutan
Endau-Rompin di Pahang. Sementelahan, Bandar raya Bersejarah Melaka dan
Georgetown yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjanjikan
keterujaan kepada para pelancong yang menyukai tempat-tempat bersejarah dan kehalusan
estetika dalam seni bina silam. Pendek kata, “macam-macam ada di Malaysia!”
Keistimewaan Malaysia yang seterusnya ialah masyarakat
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kamu dan latar belakang mewujudkan
pelbagai budaya yang mewakili setiap kaum dari seluruh Asia. Fenomena inilah
yang menyebabkan Kementerian Pelancongan telah memilih slogan “Malaysia Truly
Asia” atau “Malaysia ialah Asia” sebagai slogan untuk Kempen Pelancongan. Suatu
perkara yang tidak dapat disangkal ialah warna-warni kebudayaan rakyat Malaysia
dari segi sambutan hari-hari perayaan, pakaian, makanan, kesenian dan
pertuturan sudah pasti memberikan pengalaman yang berbeza kepada para
pelancong, contohnya sambutan Citrawarna Malaysia dan “Malaysian Kitchen”
memberi ruang untuk para pelancong memahami kebudayaan rakyat Malaysia.
Tegasnya, para pelancong asing hanya perlu ke Malaysia jika mahu mengenali
kebudayaan masyarakat di Asia.
Selain itu, salah satu daya tarikan yang ada di
Malaysia ialah kemudahan infrastruktur yang kondusif untuk para pelancong
seperti sistem pengangkutan dan tempat penginapan. Bagi memudahkan para
pelancong dari luar, syarikat penerbangan nasional, iaitu Penerbangan Malaysia
(MAS) dan Air Asia bersedia untuk membawa pelancong dari serata dunia ke
destinasi pelancongan di Malaysia. Di
samping itu, jaringan lebuh raya dan rel seperti sistem transit aliran ringan
(LRT), komuter, dan monorel menyenangkan mobiliti para pelancong. Manakala,
dari segi tempat penginapan terdapat pelbagai kategori berdasarkan bajet
masing-masing tersedia, daripada hotel bertaraf lima bintang, motel, inap desa
hinggalah asrama yang berkos rendah. Intihanya, kemudahan prasarana yang
berkualiti telah memastikan para pelancong selesa berada di negara kita.
Satu lagi elemen yang tidak kurang penting ialah sikap
rakyat Malaysia yang ramah dan berbudi bahasa. Keramahan warga tempatan
menyebabkan warga asing berasa bahawa kehadiran mereka sangat dialu-alukan di
negara ini. Malah, para pelancong juga berasa selamat ketika melancong di sini disebabkan
mereka mudah untuk mendapatkan bantuan jika menghadapi sebarang masalah. Sikap
rakyat Malaysia itu menyebabkan pelancong asing terdorong untuk berkunjung
berkali-kali ke Malaysia. Izharlah bahawa, mahajana ibarat duta kecil yang berperanan
untuk menjaga imej negara di mata para pelancong.
Kesimpulannya, Malaysia berpotensi untuk menjadi
destinasi wajib kepada warga asing yang mahu berdarmawisata. Oleh yang demikian, kerjasama antara semua pihak sama ada pihak kerajaan, swasta dan orang ramai
harus diperkukuh demi kelangsungan industri pelancongan di negara ini kerana
jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Tuntasnya, kita berharap
kedatangan pelancong asing ke negara kita akan bertambah tahun demi tahun
sejajar dengan pelbagai usaha yang dilakukan bagi menarik mereka untuk
berkunjung ke sini.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadamcg, jawab la soalan tu, sy pun nak tanya soalan yg sama juga .
BalasPadamdasawarsa maksudnya sepuluh, puluh
BalasPadamtamsilannya bermaksud contohnya.
tlong karang karangan gambaran ttg mngunjungi pameran flora..tq cg
BalasPadamsakai
BalasPadamsakai
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam