Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 13 Ogos 2012

Karangan: Usaha Mengekalkan Keamanan Sejagat (Dimensi Antarabangsa)


Keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global. Oleh itu, setiap negara wajar melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa. Bincangkan.

            Pertelingkahan politik dalam negara seperti di Syria, konflik antara kaum yang masih melanda Sri Lanka dan pembunuhan etnik yang  pernah terjadi di Bosnia Herzergovina serta Rwanda memberikan bayangan bahawa keamanan di dunia amat goyah ibarat buih-buih di lautan. Oleh yang demikian, usaha mewujudkan keamanan dunia menjadi agenda perdana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Walau bagaimanapun, setiap negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada badan dunia itu, malah setiap negara perlu mengambil inisiatif untuk mengekalkan keamanan dalam negara mahupun antarabangsa.
            Tidak boleh dinafikan bahawa perpaduan antara rakyat merupakan kunci keamanan sesebuah negara terutamanya di negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia. Oleh itu, usaha mewujudkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat hendaklah dilaksanakan secara serius dan berterusan. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang pernah mencalar sejarah Malaysia membuktikan bahawa ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum sangat rapuh. Mainan sentimen perkauman yang keterlaluan ibarat percikan api telah menyemarakan gelombang kebencian antara kaum. Impaknya, peristiwa berkenaan  telah meninggalkan parut walaupun lukanya sudah sembuh kepada mangsanya. Atas dasar tidak mahu pisang berbuah dua kali kerajaan Barisan Nasional telah ditubuhkan bagi membentuk kerjasama pintar antara parti politik yang mewakili setiap kaum. Tegasnya, pertelingkahan dalam kalangan rakyat hanya akan merugikan negara kerana pihak yang kalah menjadi abu tetapi pihak yang menang menjadi arang.
            Pada masa yang sama keamanan sejagat juga mampu diwujudkan dengan cara menjalin hubungan kerjasama antara negara serantau. Impak daripada kerjasama antara negara dapat memupuk persefahaman antara negara serantau ibarat aur dan tebing  Sehubungan itu, Malaysia telah menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM), dan Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) di samping menjalin hubungan diplomatik dengan setiap negara di dunia kecuali Israel. Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan-pertubuhan berkenaan adalah untuk menjalin kerjasama dari aspek politik, ekonomi, dan sosial serta membincangkan usaha untuk menyelesaikan konflik antara negara anggota. Intihanya, hubungan baik antara negara mampu menjadikan planet Bumi ini sebagai sebuah petempatan untuk manusia yang aman dan makmur.
            Marcapada, perbalahan antara negara seakan-akan sukar untuk dielakkan apabila masing-masing cuba mengeksploitasi sumber kekayaan yang terdapat di muka bumi ini demi kelangsungan ekonomi negara masing-masing. Apabila keadaan ini terjadi maka meja rundingan ialah platform yang paling ampuh untuk menyelesaikan konflik yang timbul dan bukannya dengan mengangkat senjata. Dalam hal ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda telah banyak berjasa dalam menyelesaikan pertikaian antara negara seperti perebutan Pulau Ligitan dan Sipadan oleh Malaysia dan Indonesia serta Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura. Tuntasnya, setiap perumitan yang timbul hendaklah diselesaikan dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak.
            Akhir sekali, keamanan negara mahupun antarabangsa boleh dikekalkan jika layanan yang adil dan saksama diberikan kepada semua pihak. Tamsilannya, di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk memastikan setiap kaum mendapat hak yang adil dan saksama untuk menikmati kemakmuran negara. Begitulah yang seharusnya berlaku di peringkat antarabangsa. Kuasa-kuasa besar dunia sewajarnya memberikan layanan yang adil kepada semua negara tanpa melabelkan negara-negara yang tertentu sebagai sekutu ataupun seteru. Buktinya, peristiwa 11 September 2001 dikatakan berpunca daripada kebencian puak militan terhadap Amerika Syarikat yang bersikap pilih kasih dalam isu-isu antarabangsa yang memberikan keuntungan kepada rakan sekutunya, khususnya Israel. Kempen memerangi keganasan tajaan Amerika Syarikat juga ternyata telah gagal untuk mengekalkan keamanan dunia malah negara ‘Uncle Sam’ itu ibarat tikus membaiki labu apabila keamanan dunia bertambah buruk lantaran polisi pilih bulu pemimpin negara berkenaan. Rumusannya, keadilan dan kesaksamaan layanan antara semua pihak merupakan kunci keamanan sesebuah negara dan buana.
            Deduksinya, prakarsa untuk mewujudkan keamanan dalam negara dan antarabangsa tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Perpaduan dalam kalangan rakyat harus dipupuk sejak kecil, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, hubungan kerjasama antara negara harus dipererat dan budaya bermusyawarah hendaklah diamalakan untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan. Tambahan lagi, semua pihak harus dilayan secara adil dan saksama untuk mewujudkan keamanan sejagat. Sesungguhnya, umat manusia harus sedar bahawa planet ini adalah untuk semua makhluk ciptaan-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya harus memastikan dunia terus makmur dan aman.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Senarai peribahasa daripada buku teks Tingkatan 5

Bil
Peribahasa
Maksud.
1
bagai aur dengan tebing
saling menolong.
2
bak cendawan tumbuh selepas hujan
terlalu banyak pada sesuatu masa.
3
seperti baung kena tukul
suara yang merungut kerana tidak puas hati.
4
seperti dihiris dengan sembilu
perasaan yang pedih sekali.
5
seperti hujan jatuh ke pasir
berbuat baik tidak pada tempatnya/ kebaikan yang sia-sia.
6
seperti kacang lupakan kulit
tidak mengenang budi atau jasa.
7
seperti menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri
menceritakan aib sendiri atau aib kaum keluarga.
8
seperti meniup api dalam air
pekerjaan yang sangat sukar.
9
umpama bersuluh di tengah hari
merupakan perbuatan yang bodoh apabila bertanyakan sesuatu yang sudah diketahui/ mensia-siakan sesuatu.
10
umpama si buta baru celik
seseorang yang bersikap sombong kerana baru beroleh kekayaan (kemuliaan).
11
berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
hendaklah selalu beringat-ingat apabila melakukan sesuatu perkara.
12
biar mati anak  jangan mati adat
jika anak sendiri yang melanggar adat, dia mesti dihukum.
13
bukit sama didaki , lurah sama dituruni
perhubungan yang sangat akrab, susah senang tetap bersama.
14
bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat
keputusan sebulat suara / berkerjasama
15
hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
pembahagian yang sama adil
16
hidup kayu berbuah , hidup manusia biar berjasa
semasa hidup hendaklah berbuat baik pada diri sendiri dan masyarakat.
17
hidup tidak kerana tuah, mati tidak kerana sumpah
berusahalah dengan daya usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang.
18
hilang bahasa,, lenyaplah bangsa
bahasa akan hilang apabila bangsanya tidak menggunakan bahasanya itu.
19
ibarat telur sekangkak,pecah sebiji, pecah semuanya
orang yang bernuafakat akan setia antara satu sama lain.
20
jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
cita-cita tidak akan tercapai jika tidak bersusah payah dahulu.
21
kalau nak tahu jahat seseorang tanya seterunya, kalau nak tahu baik seseorang tanya sahabatnya
setiap kebaikan atau keburukan seseorang itu dapat diketahui melalui musuh atau kawannya.
22
masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
perlu menyesuaikan diri di mana-mana kita berada.
23
menyambung biar panjang, menyebar biar lebar.
melakukan sesuatu itu biarlah memberi faedah.
24
sediakan payung sebelum hujan
bersiap sedia sebelum terjadi sesuatu yang kurang baik.
25
sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
kerja yang dilakukan secara beransur-ansur akan mencapai kejayaan.
26
siapa menjala siapa terjun, siapa berhutang siapa membayar
siapa yang berkehendak dialah yang berusaha.
27
yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
seseorang tidak akan mendapat keuntungan dengan mudah.
28
yang dikejar tidak dapat,, yang dikendong berciciran
sesuatu yang diusahakan tidak akan mendapat hasilnya dan yang ada di tangan
29
yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi yang indah itu bahasa.
yang baik dan indah itu ialah budi dan bahasa bukannya rupa.
30
besar pasak  dari tiang
perbelanjaan yang lebih besar daripada pendapatan.
31
genggam bara api biar sampai jadi arang
mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah bersabar sehingga mencapai kejayaan.
32
membuah mahu menuras tidak
membuat sesuatu pekerjaan tetapi malas belajar untuk menambahkan pengetahuan tentang pekerjaan itu.
33
orang penyegan susah makan
orang yang malas bekerja hidupnya susah.
34
rajin bekerja mudah belanja
orang yang rajin bekerja hidupnya senang.
35
setitik dijadikan laut sekepal dijadikan gunung
membesar-besarkan perkara yang kecil.
36
bahasa mencerminkan jiwa
kata-kata yang diujarkan sebenarnya lahir daripada jiwa.
37
bertangguh itu pencuri masa
tidak wajar berlengah-lengah apabila melakukan sesuatu.
38
berusahalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun
bekerja dan beramal secara seimbang.
39
cegah sebelum parah
sebelum berlakunya perkara buruk, perlulah ditegah sesuatu perbuatan yang tidak baik.
40
jauh berjalan, , luas pengalaman
semakin jauh kita berjalan pengetahuan akan turut bertambah.
41
muafakat membawa berkat
bekerjasama pasti mendatangkan kebaikan sampai bila-bila.
42
negara bersih, rakyat sihat
negara yang tidak kotor menyebabkan masyarakat hidup dalam kesejahteraan.
43
rajin dan usaha tangga kejayaan
usaha yang bersungguh-sungguh akan mendatangkan kejayaan.
44
syurga itu di bawah telapak kaki ibu
anak tidak boleh menderhaka kepada ibu bapa.

Isnin, 6 Ogos 2012

Latihan Kefahaman Hikayat Khoja Maimun


Latihan pemahaman “Hikayat Khoja Maimun”.

Berdasarkan petikan dalam bab 1: Teks Hikayat Khoja Maimun.
1. Apakah yang dijelaskan oleh Bayan keistimewaannya, apabila Khoja Maimun menyatakan bahawa  harganya mahal dan tidak sepadan dengan tubuhnya yang kecil sahaja? [2m]

2. Jelaskan perkara yang dimaklumkan oleh Bayan kepada Khoja Maimun dan tindakan yang harus dilakukan oleh Khoja Maimun agar Khoja Maimun tidak rugi membelinya. [3m]

3. Mengapakah Bibi Zainab berasa marah terhadap burung tiung? [2m]

Berdasarkan petikan bab 2: Cetera Pertama.
1. Mengapa isteri saudagar mencabut bulu bayan? [2m]

2. Bagaimanakah cara bayan membalas dendam terhadap isteri saudagar? [3m]

3. Bagaimanakan cara bayan untuk membantu isteri saudagar kembali ke pangkuan suaminya? [3m]


Berdasarkan petikan bab 3: Cetera Kedua.
1. Apakah yang dianugerahi Raja Tabristan kepada Taif apabila Taif menyatakan hasrat untuk berkhidmat kepada baginda? [3m]

2. Apakah perkara yang dinyatakan oleh wanita itu yang membimbangkan Taif? [2m]

3. Apakah balasan yang diterima oleh Taif atas keikhlasannya mentaati Raja Tabristan?


Berdasarkan petikan bab 4: Cetera Ketiga.
1. Bagaimanakah cara isteri saudagar meyakinkan suaminya bahawa dia tidak akan berlaku curang sepanjang suaminya pergi belajar? [3m]

Soalan KBKK.
1. Pada pendapat anda, selain bercerita bagaimanakah cara bayan boleh mengelakkan Bibi Zainab agar tidak berlaku curang? [3m]

2. Pada pendapat anda, mengapa rakyat perlu mentaati raja? [2m]


Lengkapkan Sinopsis Hikayat Khoja Maimun


Prosa Tradisional : Hikayat Khoja Maimun

SINOPSIS
Bab 1 : Teks Hikayat Khoja Maimun
 Khoja Maimun  yang berasal dari negeri ……………, mempunyai seorang isteri yang cantik bernama ………………... Pada suatu hari, mereka pergi ke pekan lalu membeli seekor burung ……………. jantan dengan harga …………… dinar tetapi bayarannya ditangguhkan dahulu. Burung itu sungguh istimewa kerana boleh membuat ramalan. Menurut ramalannya, dalam masa ………… hari lagi Khoja Maimun akan mendapat keuntungan hasil daripada menjual ……………. ( wangi-wangian). Khoja Maimun telah membeli semua sanbal yang terdapat di negeri Ajam. Setelah genap tiga hari datanglah saudagar dari negeri ……………. hendak membeli sanbal. Saudagar itu telah membeli sanbal itu daripada Khoja Maimun kerana tiada di tempat lain. Hasil keuntungan tersebut, Khoja Maimun telah melunaskan bayaran harga burung bayan itu, di samping  membeli seekor burung …………… betina. Setiap hari, Khoja Maimun dan isterinya mendengar cerita daripada kedua-dua ekor burung itu. Pada suatu hari Khoja Maimun dan burung-burung itu bercerita tentang manfaat ……………….. di laut yang menyebabkan Khoja Maimun teruja untuk keluar berniaga.
Khoja Maimun keluar berniaga dan meninggalkan isteri tercintanya di rumah. Pemergiannya menyebabkan Bibi Zainab berasa …………… lalu duduk di tepi jendela. Pada ketika itu dia terpandang …………….. raja negeri yang sangat kacak dan mereka saling  jatuh hati. Bibi Zainab ingin berjumpa dengan anak raja itu lalu meminta nasihat burung tiung. Namun, tiung melarangnya dengan memberi nasihat bahawa perbuatan ………………. itu tersebut bertentangan dengan hukum Allah dan Bibi Zainab akan diazab di dalam ……………….. Selain itu, tiung mengingatkan Bibi Zainab bahawa Bibi Zainab akan berasa …………….. dan akan ……………… oleh Khoja Maimun jika kecurangannya itu diketahui oleh suaminya itu. Bibi Zainab amat marah mendengar nasihat itu, lantas …………….. tiung sehingga mati. Seterusnya, dia meminta pandangan daripada Bayan pula. Bayan berusaha melalaikan Bibi Zainab dengan berceritakan …………………. kepadanya.

Bab 2: Cetera Pertama
Cetera pertama berkisar tentang Kisah Bayan yang dicabut …………. oleh isteri saudagar. Isteri saudagar berbuat demikian kerana mengesyaki bahawa Bayan telah ……………….. rahsianya yang telah ……………. dengan seorang fakir kepada suaminya. Bayan menyembunyikan dirinya di dalam saluran tempat membuang ………………….. menyebabkan isteri saudagar tersebut mengganggap Bayan telah ……………….
Isteri saudagar menberitahu kepada suaminya bahawa bayan telah mati akibat dimakan ……………. Namun, helah itu diketahui suaminya menyebabkan saudagar tersebut marah dan menghalau isterinya. Dia telah pergi ke kubur …………………………………..…. untuk memohon doa agar suaminya menerimanya kembali. Setelah bulu bayan tumbuh kembali, dia keluar dari tempat persembunyian lalu terbang ke kubur Tuan Syeikh untuk menyuruh isteri saudagar ………………….. Bayan menyuruh isteri saudagar …………………… dan ……………….. kerana ingin membalas dendam. Bayan menyatakan hasrat untuk membantu isteri saudagar agar dapat kembali ke pangkuan suaminya. Bayan menemui saudagar dan menjelaskan bahawa bukan …………..yang membunuh Bayan, menyebabkan isterinya diterima kembali.
Bayan menyuruh Bibi Zainab menemui anak raja yang dicintainya, malangnya hari telah siang. Pada hari yang lain Bibi Zainab sekali lagi ingin keluar menemuai anak raja itu, namun Bayan telah bercerita tentang ……………………. untuk melalaikannya.

Bab 3: Cetera Kedua
Taif menemui ………………. kerana Raja Arab tidak menghargai jasa yang dicurahkannya selama ini. Kehadirannya dialu-alukan dan Raja Tabristan yang menganugerahinya …………, ………………… dan tempat penginapan. Dalam suatu majlis keramaian, Taif telah menyatakan hasrat untuk melawan isteri Syah Alam sehingga menyebabkan rajanya murka.
Suatu malam ketika Taif sedang berkawal, Raja Tabristan terdengar suara perempuan. Raja menitahkan Taif untuk menyiasat perkara tersebut. Menurut perempuan itu, jika Taif inginkan daulat raja Tabristan …………….. dan umur baginda …………………….., dia harus membunuh ………………. sendiri. Taif begitu …………… dan rela melakukan perkara tersebut, namun dihalang oleh perempuan itu kerana dia sebenarnya hanya ingin …………….. Taif.
Peristiwa itu sebenarnya diintip oleh Raja Tabristan. Ketaatan Taif menyebabkan dia dianugerahi ………………….. dan harta yang banyak. Cerita itu sekali lagi melalaikan Bibi Zainab menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk bertemu kekasihnya. Malam berikutnya, Bayan bercerita lagi.

Bab 4 :  Cetera Ketiga
Terdapat seorang suami yang begitu ……………… isterinya menyebabkan segala tindak tanduk isterinyanya dikawal. Isterinya telah bercerita tentang ………………. yang terlalu memahami isterinya dan tidak akan marah walaupun isterinya berlaku sumbang terhadapnya. Hal ini demikian kerana, dia pernah melihat suami yang cemburu turut ………….. oleh isterinya. Akibat terlalu cemburu si suami sanggup menjadikan dirinya seekor ……………… untuk membawanya berjalan-jalan, kerana bimbang isterinya akan bersenda gurau dengan lelaki lain.
Isteri kepada suami yang cemburu itu selalu menegaskan kepada suaminya bahawa dia setia, namun kesetiaannya masih diragui. Oleh sebab itu, dia membekalkan …………… dan ……………………… ketika suaminya pergi belayar. Jika isterinya curang, bunga itu akan ………………. dan kain itu akan …………………...
Bunga yang dibawa oleh saudagar (suami) itu tidak layu walaupun ketika itu musim ……………………………... Raja di negeri itu tertanya-tanya akan keunikan bunga itu menyebabkan saudagar itu menceritakan hal sebenar. Kebijaksanaan isteri saudagar itu menyebabkan Raja ingin menguji ……………….. isteri saudagar dengan menghantar …………………. hamba raja menemuinya  namun gagal. Seterusnya, ………………. orang hamba dihantar untuk menguji kesetiaan isteri saudagar tadi, namun turut mengalami kegagalan. Akhirnya raja sendiri yang pergi untuk menguji isteri saudagar tadi. Isteri saudagar menasihati Raja agar ……………… akan azab Allah dan segera ……………………... 
Sekali lagi Bibi Zainab gagal menemui kekasihnya. Hajatnya masih tidak kesampaian apabila Bayan bercerita pula kisah ……………………………………………………………. Akhirnya, Bibi Zainab insaf dan sedar bahawa seorang perempuan mestilah ………….. kepada suaminya.

Latihan soalan pemahaman berdasarkan teks Hikayat Indera Nata


1. Nyatakan maksud rangkai kata berikut:
(i) tiada memberi bahaya akan dia (m/s 59)
(ii) seorang pun tiada tinggal lagi (m/s 64)
(iii) menangislah bercintakan dirinya (m/s 66)
(iv) berjalan ia menghelakan gajah itu (m/s 66)
(v) sangat aku bercintakan anaku (m/s 67)  [10 markah]
2. Nyatakan kehebatan Indera Nata seperti yang diceritakan oleh Indera Jenaka. [2 markah]
3. Nyatakan permintaan Tuan Puteri kepada raksasa sebagai tanda raksasa sayang akan mereka.  [3 markah]
4. Mengapakah raksasa berasa sangat marah? [3 markah]
5. Nyatakan tiga perkara yang disuruhkan oleh Betara Gangga kepada lembur dan naga?  [3 markah]
6. Pada pendapat anda, mengapakah watak Indera Nata mempunyai keistimewaan yang tertentu?  [3 markah]
7. Seandainya anda Indera Nata, apakah cara yang akan anda lakukan bagi menghargai pertolongan lembur dan naga? [3 markah]
8. Jika anda Tuan Puteri Cenderawati, bagaimanakah anda mahu mencari Indera Nata? [3 markah]


Sabtu, 4 Ogos 2012

Senarai Peribahasa Dalam Buku Teks Tingkatan 4 KBSM

Bil
Peribahasa
Maksud.
1
bagai cendawan tumbuh selepas hujan
terlalu banyak pada sesuatu masa
2
bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
tiada muafakat dalam sesuatu perbincangan
3
bagai melukut melukut di tepi gantang.
seseorang yang dianggap tidak penting kerana tiada kuasa.
4
bagai menatang minyak yang penuh
memelihara seseorang dengan penuh kasih sayang.
5
bagai pauh dilayang
pipi yang gebu/licin
6
seperti abu atas tunggul
kedudukan yang tidak selamat
7
seperti bangau di ekor kerbau
tidak mempunyai pendirian sendiri.
8
seperti harimau menyembunyikan kukunya
orang yang menyembunyikan kelebihannya.
9
seperti kaca terhempas ke batu
sangat sedih/kecewa
10
seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul
orang yang menyuruh orang lain melakukan sesuatu perkara dengan baik padahal dia sendiri tidak berlaku seperti yang dinasihatinya.
11
seperti kerbau dicucuk hidung
orang bodoh dan selalu mengikut perintah orang.
12
belakang parang sekalipun, kalau diasah nescayakan tajam
orang yang bodoh kalau diajar betul-betul akan pandai juga.
13
berat sama dipikul, ringan sama dijunjung
sikap bekerjasama dalam membuat sesuatu perkara.
14
dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
segala-galanya sudah tersedia.
15
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
sama taraf atau kedudukan
16
kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga
kalau pengetahuan (kebolehan) itu sedikit, jangan hendak berbuat (melawan) sesuatu yang besar.
17
malu berkayuh hanyut perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
kalau malas berusaha pasti akan susah.
18
seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit
hanya kerana seorang yang melakukan kesalahan, orang yang lain turut dituduh melakukannya.
19
sekali air bah, sekali pasir berubah
suasana akan berubah apabila keadaan berubah.
20
sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
berfikirlah dengan teliti sebelum melakukan sesuatu supaya tidak timbul kesal akibat perbuatan itu.
21
tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
adat atau sesuatu yang tetap dengan keutuhannya.
22
terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya
berhati-hati apabila bercakap kerana ditakuti akan menyakiti orang lain.
23
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
sikap berkerjasama dalam membuat sesuatu perkara.
24
air tenang jangan disangka tiada buaya
orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.
25
burung terbang dipipiskan lada
belum mendapat sesuatu yang dihajati tetapi sudah berangan-angan menggunakannya.
26
cepat kaki ringan tangan
rajin membuat kerja.
27
genggam bara api biar sampai jadi arang
melakukan sesuatu kerja yang sukar hendaklah bersabar sehingga berjaya.
28
indah khabar dari rupa
cerita atau gambaran lebih hebat dar keadaan yang sebenar.
29
jauh panggang dari api
tidak kena atau jauh daripada yang dimaksudkan.
30
jika melentur buluh biarlah daripada rebungnya
melatih seseorang hendaklah sejak kecil.
31
patah tumbuh hilang berganti
tiap-tiap yang hilang aka nada gantinya.
32
rosak badan kerana mulut
akibat tersalah cakap, diri sendiri yang akan mendapt susah.
33
sudah terhantuk baru nak tengadah
sudah terkena baru hendak beringat.
34
badan sihat otak cerdas
tubuh yang sihat akan membentuk minda yang cerdas.
35
mata pena lebih tajam daripada mata pedang
pendapat yang dikemukakan secara bertulis kadangkala lebih berbisa daripada dipotong dengan pedang.
36
mencegah lebih baik daripada mengubati
menghalang penyakit lebih baik daripada mengubati penyakit.
37
pandu cermat jiwa selamat
memandu dengan berhati-hati akan mengelakkan kemalangan jiwa.
38
pemuda harapan negara, pemudi tiang negara
pemuda pemudi merupakan harapan/tonggak negara.
39
tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia
wanita yang dianggap lemah sebenarnya amat perkasa.
40
membazir amalan syaitan
perbuatan berlebih-lebihan dianggap salah di sisi agama.