Novel Kabus Di Perbukitan
( Mohamad Kholid Hamzah)
Sinopsis |
Novel ini memaparkan kisah pasangan suami isteri, Kamarudin seorang tentera dan Salmah,yang mempunyai sepasang anak kembar Faridah dan Rahayu. Apabila Kamarudin ditugaskan sebagai Pegawai Pemerintah di Pengkalan Hulu di Perak, dia telah berkahwin dengan Hamidah. Kamarudin diarahkan bertugas sebagai Atase Keselamatan di Pejabat Kedutaan Malaysia di Pontianak, Indonesia. Di sinilah bermulanya perpisahan pasangan kembar tersebut. Kamarudin telah membawa Rahayu tinggal bersama-samanya, manakala Faridah dijaga oleh Salmah.
Setelah dewasa, Rahayu berkawan dengan Azrul yang sama-sama belajar di Fakulti Ekologi Manusia, UPM. Faridah menjadi Sukarelawan PDK Suria. Rahayu telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kerana pengsan di perpustakaan. Rahayu disahkan menghidap kanser. Faridah pula membawa kanak-kanak istimewa ke Bukit Fraser. Sebelum pulang Faridah pergi ke Raub untuk mengisi minyak van dan membeli beberapa keperluan untuk perjalanan pulang pada pukul 2 petang nanti. Akibat terkejut dengan kehadiran Iqbal di dalam van, Faridah gagal mengawal pergerakan van, dan melanggar tembok pengadang jalan lalu menjunam ke dalam gaung. Faridah dan Iqbal tidak dapat dikesan oleh pasukan penyelamat. Setelah dua minggu usaha menyelamat gagal, operasi menyelamat dihentikan. Namun, bapanya, Kamarudin dan rakannya, Buyung berusaha meredah hutan mencari Faridah dan Iqbal. Mereka dijumpai di perkampungan orang Asli di Sungai Dua. Faridah dimasukkan ke hospital yang sama dengan Rahayu dalam keadaan koma. Rahayu melawat Faridah dan dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Faridah. Selepas kematian Rahayu dan tamat pengajian di universiti, Azrul berhasrat menjadi penternak kambing yang berjaya, sebagaimana yang dicita-citakan oleh Rahayu semasa mereka sama-sama belajar.
Setelah sihat, Faridah berkahwin dengan Pegawai Kebajikan Masyarakat bernama Ghazali. Tidak lama kemudian Salmah, ibu kepada Faridah dan Rahayu meninggal dunia kerana terlalu rindu akan Rahayu. Selepas itu, Ghazali pula meninggal dunia akibat kemalangan. Kemudian Faridah ditawarkan mengikuti kursus Community Services for Disable People di New Zealand selama enam bulan. Di situlah dia berkahwin dengan Soleh Johnsons dan dia terus menetap di sana. Mereka mendapat sepasang anak kembar, iaitu Melina dan Anne.
Melina berkenalan dengan Jabbar al – Anbia atau dikenali sebagai ‘Benny’. Secara tidak sengaja, Anne pula bertemu dengan Zain yang membantunya semasa keretanya rosak. Akhirnya Melina berkahwin dengan Benny di Masjid al-Noor, Christchurch. Mereka berpindah ke Malaysia kerana Benny ditugaskan menerajui operasi minyak di situ. Mereka menetap di Terengganu. Di Malaysia, Benny berkawan baik dengan Mohamed Attar dan Mehmood yang cenderung mencapai sesuatu matlamat berhubung dengan Islam secara kekerasan. Muhamed Attar telah ditangkap oleh pihak berkuasa Interpol kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengganas. Benny yang bimbang akan keselamatan dirinya telah melarikan diri ke Dubai dengan bantuan keluarganya.
Faridah dan Soleh pulang ke Malaysia untuk berbincang tentang perkahwinan Anne dan Zain. Mereka menginap di Cameron Highlands. Di situlah Faridah mengetahui bahawa Zain ialah anak lelaki bekas teman lelaki adiknya, arwah Rahayu. Majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan meriah.
Akhirnya, Melina yang sedang sarat mengandung ke Dubai bersama-sama dengan ayahnya, Soleh untuk berjumpa dengan Benny. Melina dan Benny menetap di Dubai. Anne dan Zain pula mengambil alih syarikat penternakan keluarga Johnson di New Zealand. Datuk Azrul dan Soleh Johnsons membuka perniagaan kotej di Cameron Highlands.
Tema |
Novel ini bertemakan jati diri orang Melayu. Tema ini diserlahkan melalui watak utama Faridah yang merantau ke New Zealand selama 25 tahun. Walaupun begitu lama tinggal di negara orang, akhirnya dia dan keluarganya kembali membina kehidupan yang lebih bermakna di Malaysia.
Persoalan |
1. Persoalan ikatan kekeluargaan yang erat.
· Persoalan ini digambarkan melalui Faridah dan Rahayu yang merupakan pasangan kembar tetapi dibesarkan secara berasingan oleh ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana Rahayu dijaga oleh ayah dan ibu tirinya, manakala Faridah dibela oleh ibunya sendiri. Namun demikian Rahayu sentiasa merindui kakaknya, Faridah.
2. Persoalan perpisahan ibu bapa menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.
· Perkara ini dipaparkan melalui tindakan Kamarudin meninggalkan Salmah tetapi membawa bersama-samanya Rahayu ke Indonesia menyebabkan pasangan kembar tersebut terpisah dan merindui satu sama lain.
3. Persoalan kecintaan terhadap alam sekitar.
· Persoalan ini digambarkan melalui watak Azrul yang aktif dalam program-program pemeliharaan alam sekitar.
4. Persoalan kasih sayang.
· Persoalan ini digambarkan antara ibu dengan anaknya, iaitu kasih sayang Salmah terhadap anaknya Rahayu yang telah meninggal dunia. Akibat terlalu rindu, ibu ini menderita sehingga menemui ajalnya. Persoalan kasih sayang antara isteri dan suami pula tergambar melalui tindakan Melina yang berusaha dengan pelbagai cara mencari suaminya, Benny yang tidak pulang ke rumah.
5. Persoalan sikap berdikari golongan siswazah.
· Golongan ini tidak seharusnya menunggu tawaran kerja yang diberikan oleh pihak kerajaan atau swasta. Sebagai contoh, Azrul bertekad untuk menjadi penternak kambing dan hasratnya itu dipersetujui oleh bapanya.
6. Persoalan kahwin campur.
· Fenomena kahwin campur dalam kalangan masyarakat telah menjadi perkara biasa pada zaman ini. Hal ini dibuktikan melalui perkahwinan watak utama Faridah dengan Samuel Kirkby Johnsons atau nama Islamnya Soleh Johnsons. Faridah ialah orang Melayu Malaysia yang bekerja di New Zealand, manakala Soleh pula orang Inggeris rakyat New Zealand.
7. Persoalan peranan bomoh dalam masyarakat Melayu.
· Hal ini dipaparkan ketika operasi pencarian kehilangan Faridah dan Iqbal menemui jalan buntu dan terpaksa dihentikan. Beberapa pihak termasuk pihak polis yang terlibat dalam operasi tersebut mencadangkan penggunaan bomoh untuk mengesan Faridah dan Iqbal.
8. Persoalan semangat kerjasama yang masih utuh dalam masyarakat.
· Operasi mencari Faridah dan Iqbal yang dinamakan OPS PDK melibatkan banyak pihak seperti Bomba dan Penyelamat, Hospital Daerah, RELA, Perhilitan dan Pejabat Daerah Raub serta Hulu Selangor.
9. Persoalan pejuangan secara kekerasan.
· Novel ini memaparkan adanya beberapa pihak yang mahu mencapai sesuatu matlamat dengan kekerasan. Hal ini digambarkan melalui Muhammad Attar yang cuba mencari pengaruh daripada kalangan rakan-rakannya termasuklah Benny, suami Melina dalam matlamatnya untuk menegakkan perjuangan Islamnya.
10. Persoalan prejudis masyarakat Barat terhadap Islam (Islamofobia).
· Tangkapan Mohamed Attar oleh Interpol ada kaitan dengan isu keganasan yang dilakukan oleh umat Islam.
Plot |
Plot ialah sesuatu yang menghubungkan antara peristiwa dalam sebuah cerita yang rapat pertaliannya dengan gerak laku lahiriah dan batiniah watak. Setiap peristiwa dan gerak laku itu dari awal hingga akhir adalah berdasarkan kepada hukum sebab dan akibat. Plot novel Kabus di Perbukitan bersifat kronologi. Plot kronologi ialah plot yang disusun mengikut urutan, iaitu waktu atau peristiwa yang berlaku dahulu akan didahulukan manakala yang berlaku kemudian akan dikemudiankan. Tindakan Mejar (B) Kamarudin berkahwin lain dan memisahkan anaknya, Rahayu daripada pasangan kembarnya telah menimbulkan pelbagai konflik, kepada Rahayu, Faridah, dan isterinya atau ibu mereka. Walaupun plot novel ini banyak disisipkan dengan unsur imbas kembali, namun pembaca masih mudah untuk memahami dan menelusuri peristiwa-peristiwa penting dalam novel.
Pembinaan Plot
Terdapat empat peringkat binaan plot, iaitu:
(i) Permulaan
Pengarang memperkenalkan watak Rahayu menunaikan solat subuh dan Rahayu merasa kelainan atau sakit pada lehernya. Pada bahagian ini diperkenalkan juga Rahayu dan Azrul sebagai penuntut Fakulti Ekologi Manusia, UPM.
(ii) Perkembangan
· Pada bahagian ini Rahayu dan Azrul sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
· Semasa di perpustakaan, tiba-tiba Rahayu pengsan dan dia dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
· Pada masa yang sama, Faridah kembarnya juga telah ditimpa kemalangan bersama-sama dengan kanak-kanak istimewa, Iqbal dalam perjalanannya ke pekan Raub. Faridah hilang dari tempat kemalangan.
· Selepas dua minggu, Faridah ditemui di Perkampungan Orang Asli di Pahang yang diketuai oleh Tok Batin Senik dalam keadaan koma.
· Akhirnya Rahayu meninggal dunia di sisi Faridah di hospital yang sama mereka ditempatkan.
· Azrul berjaya menamatkan pengajiannya dan berhasrat menjadi penternak kambing.
· Faridah berkahwin dengan Ghazali.
· Ibunya meninggal dunia dan diikuti dengan kematian Ghazali dalam kemalangan jalan raya.
· Faridah bersetuju ke New Zealand untuk mengikuti suatu kursus.
· Faridah menetap di New Zealand dan berkahwin dengan seorang pemuda New Zealand yang bernama Samuel Kirkby Johnsons atau Soleh Johnsons. Mereka dikurniakan sepasang anak kembar, Anne dan Melina.
· Zain berkenalan dengan Anne semasa Anne menghadapi masalah keretanya yang rosak.
· Melina berkahwin dengan Jabbar al – Anbia atau dikenali sebagai ‘Benny’ dan berpindah ke Malaysia serta menetap di Terengganu.
· Benny sibuk dengan urusan peniagaannya bersama-sama dua orang kawannya, Muhammad Attar dan Mehmod. Melina yang sedang mengandung rasa sunyi.
· Anne memperkenalkan Zain kepada ibunya, Faridah.
· Muhamed Attar, Mehmod, dan Benny cuba mempengaruhi Ustaz Hassan Syukri agar menyertai perjuangan mereka.
(iii) Konflik
· Mejar (B) Kamarudin curang kepada isterinya Salmah dan berkahwin dengan Hamidah.
· Faridah dan Rahayu dipisahkan apabila Kamarudin dan isteri keduanya berpindah ke Pontianak, Indonesia.
· Faridah putus tunang dengan Azman.
· Rahayu pengsan di perpustakaan dan disahkan menghidap barah paru-paru.
· Faridah dan Iqbal terlibat dalam kemalangan dan mereka hilang selama dua minggu.
· Melina berkonflik dengan dirinya kerana sering ditinggalkan oleh Benny yang sibuk dengan urusannya.
· Benny, Muhammad Attar tidak sependapat dengan Ustaz Hassan Syukri dalam cara perjuangan mereka dalam menegakkan agama Islam.
· Muhamed Attar ditangkap oleh Interpol, Benny pula melarikan diri ke Dubai.
(iv) Klimaks
· Faridah, Soleh, dan Anne pulang bercuti di Malaysia untuk melawat Melina, dan membincangkan perkahwinan Zain dan Anne.
· Muhammad Attar ditangkap oleh pihak Interpol dan Melina membuat laporan ke balai polis kerana suaminya tidak pulang ke rumah.
· Perkahwinan Anne dengan Zain berlangsung dengan meriah.
· Soleh dan Melina ke Dubai berjumpa Benny dan Melina bersetuju menetap di Dubai.
(v) Peleraian
· Anne dan Zain menetap di New Zealand untuk menerajui syarikat penternakan keluarga Johnsons. Azrul dan Soleh menjalankan perniagaan kotej di Cameron Highlands.
· Faridah dan Soleh mengambil keputusan menetap di Malaysia.
Teknik Penceritaan |
1. Pemerian
Contoh:
· Gambaran Azrul dan Rahayu yang sedang menikmati sarapan pagi sambil memerhatikan gelagat siswa dan siswi UPM yang lalu lalang di hadapan mereka.
2. Dialog
Contoh:
· Dialog yang pendek-pendek dan pantas antara Azrul dan Rohaya. Mereka
bersoal jawab tentang tugasan yang diberi oleh pensyarah dan program Kempen Save Our River.
3. Imbas kembali
Contoh:
· …”Cukup. Malam tadi dah keluar dengan kawan-kawan ke Kajang
· Tentang peranan dan sejarah Rumah Rehat Sri Berkat suatu masa dahulu. Semasa zaman kolonial, rumah tersebut digunakan untuk berehat oleh pengurus-pengurus ladang.
4. Imbas Muka
Contoh:
· ada kemungkinan mereka meredah hutan dan sesat?” tanya Chief Inspektor Aznil.
· …Buyong membuat andaian bahawa Mejar (B) Kamarudin pasti akan terpesona dengan kawasan Bukit Kutu.
5. Suspens
Contoh:
· Pihak-pihak yang terlibat dalam operasi pencarian Faridah dan Iqbal tertanya-tanya ke manakah hilangnya jasad kedua-dua mangsa.
· kehilangan Benny menimbulkan tanda tanya. Melina membuat laporan polis.
· Azrul menyatakan bahawa dia sudah memiliki gadis pilihannya.
6. Monolog Dalaman
Contoh:
· “Tidak mungkin boleh bertahan hingga pagi,” desis hati kecil Buyung.
7. Kejutan
Contoh:
· Salmah terkejut menerima berita kehilangan Faridah.
Watak dan Perwatakan |
1. Watak Faridah
· Faridah merupakan watak utama dan dia mempunyai saudara kembar bernama Rahayu.
· Ayahnya berkahwin kali kedua dengan seorang wanita bernama Hamidah.
· Dia terpisah daripada adik kembarnya semasa berusia tujuh tahun akibat ayahnya berpindah ke Pontianak, Indonesia.
· Faridah seorang yang tabah menghadapi dugaan hidup. Contohnya, dia tabah menghadapi kematian adik kembar kesayangannya, Rahayu akibat barah paru-paru. Selepas itu dia juga kehilangan ibu kesayangannya dan suaminya yang tercinta, Ghazali.
· Faridah seorang yang sangat prihatin akan kanak-kanak istimewa. Contohnya, dia menganggap menjalankan khidmat kepada kanak-kanak istimewa dianggap sebagai satu ibadah.
· Faridah seorang yang beriman. Dia bersolat Tahajud selepas mengalami mimpi Ayu dan ibunya. Dia yakin akan berasa tenang selepas menunaikan solat sunat Tahajud.
· Faridah juga mementingkan ilmu pengetahuan. Contohnya, dia sanggup menggadaikan tanahnya untuk perbelanjaannya semasa berkursus di New Zealand.
· Faridah seorang yang penyayang. Dia sentiasa berusaha memenuhi permintaan anak-anaknya, terutama yang melibatkan penyediaan makanan untuk anak-anaknya, Anne dan Melina.
· Dia juga seorang yang mempunyai jati diri yang tinggi. Walaupun hidupnya senang dan sudah 25 tahun di New Zealand, Faridah sanggup pulang semula ke Malaysia kerana terlalu rindu akan kampung halamannya. Dia juga berjanji akan mengekalkan kerakyatannya sebagai rakyat Malaysia sampai bila-bila.
2. Rahayu
· Rahayu ialah watak sampingan yang penting dan merupakan adik kembar kepada Faridah.
· Dia mengidap penyakit lelah dan dalam kalangan adik-beradiknya, dia dianggap ‘lembik’.
· Rahayu dikesan mengidap barah paru-paru, selapas pengsan di perpustakaan.
· Seorang yang suka membaca. Dia dilihat sering menghabiskan masa di kedai buku dan digelar sebagai ‘ulat buku’ oleh Azrul.
· Rahayu juga seorang yang rajin. Contohnya dia rajin memasak dan membantu ibunya di dapur sekiranya tiada kuliah.
· Rahayu seorang yang penyayang. Contohnya, disebabkan dia tinggal bersama ayah dan ibu tiri, hatinya amat rindu untuk bertemu dengan ibu kandungnya Salmah.
3. Azrul
· Seorang graduan UPM dan bekas teman lelaki Rahayu.
· Dia seorang mahasiswa yang mencintai alam sekitar. Azrul dan rakan-rakannya telah menaja penubuhan Penubuhan Persatuan Pencinta Alam dan Hutan yang kerap memberi pendedahan kepada murid tentang alam sekitar.
· Azrul seorang yang penyayang. Semasa Rahayu masih hidup Azrul amat menyayanginya dan sentiasa berada di sisi Rahayu ketika Rahayu sakit.
· Azrul juga seorang yang berdikari. Setelah tamat pengajian di universiti, dia tidak berharap untuk makan gaji, sebaliknya dia mahu menjadi penternak kambing.
· Seorang yang gigih berusaha. Dia berjaya menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang penternakan hasil usaha gigihnya itu.
· Akhirnya dipaparkan Azrul memperoleh gelaran Datuk.
4. Kamarudin
· Bapa kepada Rahayu dan Faridah.
· Kamarudin digambarkan sebagai lelaki yang kacak. Pada usia 21 tahun, dia telah berkahwin lain.
· Semasa ditugaskan ke Pontianak, Indonesia, dia sanggup memisahkan dan membawa salah seorang anak kembarnya Rahayu daripada ibunya.
· Dia berpangkat Mejar ketika bersara daripada angkatan tentera.
· Seorang yang berjimat cermat kerana dia menyimpan sejumlah wang untuk masa hadapan anak-anaknya.
· Semasa mudanya, dia suka berfoya-foya.
· Seorang bapa yang tidak bertanggungjawab. Contohnya dia tidak memberikan nafkah lahir dan batin kepada Salmah, isterinya.
· Kamarudin pandai menyimpan rahsia. Kewujudan Faridah dirahsiakan daripada isteri keduanya, Hamidah.
· Seorang yanag percaya kepada bomoh. Dia sering membawa Rahayu berjumpa dengan bomoh supaya Rahayu serasi dengan keluarga barunya dan tidak rindu kepada pasangan kembar dan ibunya.
· Akhirnya kehilangan Faridah telah menginsafkan Kamarudin tentang kesilapannya. Kamarudin menunjukkan rasa tanggungjawabnya dengan berusaha mencari Faridah.
5. Salmah
· Ibu kepada pasangan kembar Faridah dan Rahayu.
· Isteri pertama kepada Kamarudin.
· Usianya menjangkau 50 tahun.
· Seorang yang rajin berdoa. Apabila ditimpa musibah kehilangan Faridah, dia memohon ke hadarat Ilahi agar menjauhi anak kesayangannya itu daripada sebarang bahaya.
· Setelah ditinggalkan oleh suaminya, dia menyara kehidupannya dengan bekerja di sawah.
· Dia sering berduka dan sakit selepas pemergian Rahayu.
· Seorang ibu yang penyayang. Walaupun dia tidak dapat memelihara Rahayu, dia masih tetap menyayangi Rahayu.
6. Benny
· Berasal dari Dubai.
· Nama sebenarnya Jabbar al – Anbia, tetapi dia lebih gemar dipanggil Benny.
· Seorang yang sangat gemar berlayar. Contohnya dia pernah belayar dari Doha hingga ke Sydney.
· Seorang Muslim yang tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Contohnya, dia minum arak di luar pengetahuan ibu bapanya.
· Dia menunjukkan rasa tidak bertanggungjawab. Dia meninggalkan Melina yang sarat mengandung tanpa khabar berita kerana takut ditangkap oleh polis Interpol.
· Dia berjumpa terus dengan Soleh Johnsons dan Faridah untuk melamar Melina.
Latar |
Latar Masa
1. 6.00 pagi – Rahayu terjaga dari tidur oleh deringan telefon bimbitnya. Dia teringat akan
tugasan MP 3714 yang perlu dihantar pagi itu.
2. 8.00 pagi – Rahayu tiba di perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran bersama Azrul.
3. Waktu pagi– Rahayu terjatuh dan pengsan di perpustakaan.
Faridah terlibat dalam kemalangan.
4. Malam - Pak Imam Sohod mengetuai kanak-kanak kariah membaca Yasin, memohon
kepada Allah supaya diberi petunjuk terhadap kehilangan Faridah di tempat
kemalangan.
5. 1980 - Sepasang pelancong British hilang di Jalan Gap ketika berbasikal di Kuala
Kubu Baharu ke Bukit Fraser.
6. 1989 - PKM meletakkan senjata di Hatyai.
7. Semasa bersarapan – Kamarudin menerangkan isterinya, Hamidah bahawa kembar Rahayu,
iaitu Faridah menemui kemalangan dan hilang di Bukit Fraser.
8. Waktu pagi - Satu jam selepas Kamarudin meninggalkan rumah untuk mencari Faridah,
Hamidah menerima panggilan yang memaklumkan Rahayu pengsan dan telah dihantar ke hospital UKM.
- Hamidah dimaklumkan oleh Dr Susan , kemungkinan Rahayu menghidap
barah paru-paru.
9. 3.30 petang- Pihak polis menamatkan OPS PDK setelah usaha mencari Faridah dan Iqbal
selama dua minggu menemui kegagalan.
10. 25 tahun- Faridah telah meninggalkan kampung halamannya selama 25 tahun dan
menetap di New Zealand selepas kematian ibu dan suaminya, Ghazali.
11. Dua minggu- Dalam masa dua minggu Benny dan Melina berkenalan, Benny sudah
melamar Melina.
12. Satu pagi - Benny dan Melina tiba di rumah Soleh dan Faridah.
13. Waktu petang - Sebelum majlis perkahwinan Benny dan Melina, Zain berkenalan dengan
Anne.
14. Dua petang- Benny dan Melina tiba di KLIA untuk bekerja di Malaysia.
Latar Tempat
1. Kafetaria di UPM - Rahayu dan Azrul sedang bersarapan
2. Perpustakaan di UPM - Rahayu dan Azrul belajar dan mencari maklumat di
perpustakaan.
- Rahayu pengsan.
3. Rumah Rehat Sri Berkat di Bukit Fraser
- Faridah dan Mastura membawa murid ‘Sindrom Down’
seramai 10 orang ke Bukit Fraser.
4. Jalan ke Pekan Raub - Faridah yang terkejut dengan kehadiran Iqbal di dalam
keretanya telah terlibat dalam kemalangan.
5. Smoke House - Rumah Tuan Cecil Renking yang wujud dalam halusinasi
Faridah yang koma selepas terlibat dengan kemalangan jalan
raya.
6. Bukit Kutu - Mejar (B) Kamarudin dan Buyung mencari Faridah dan Iqbal
di dalam hutan sekitar Bukit Kutu.
7. Perkampungan orang Asli
- Tempat Mejar (B) Kamarudin dan Buyong menemui Faridah
dan Iqbal dijumpai selepas dua minggu hilang.
8. Parit Satu, Sungai Besar
- Faridah bertembung dengan Azrul semasa dia menziarahi
kubur Rahayu di Parit Satu.
9. Parit Dua, Sungai Besar
- Kampung Azrul – dia menjalankan projek penternakan
kambing.
10. Rosewood, New Zealand
- Rumah Faridah di New Zealand.
11. Cristchurch di New Zealand
- Sebuah bandar di New Zealand.
12. Marang, Terengganu - Tempat tinggal Benny dan Melina.
13. Cameron Highlands - Tempat penginapan Faridah dan keluarganya ketika mereka
pulang ke Malaysia untuk melawat Melina dan membincangkan perkahwinan Anne dan Zain.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat pelajar universiti. Contohnya, Azrul dan Rahayu merupakan penuntut Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
2. Masyakat yang cinta akan alam sekitar. Contohnya, Azrul dan teman-temannya banyak mengadakan program pendedahan tentang alam sekitar kepada pelajar-pelajar.
3. Masyarakat yang mengambil berat terhadap kanak-kanak istimewa. Contohnya Faridah, dan Mastura yang bertugas di PDK Suria menganggap berkhidmat kepada kanak-kanak istimewa ialah satu ibadah.
4. Masyarakat yang beriman kepada Tuhan. Contohnya Faridah dan Salmah dipaparkan sentiasa berdoa apabila menghadapi tekanan atau masalah hidup.
5. Masyarakat yang suka bersedekah. Hal ini digambarkan melalui watak Soleh Johnsons yang suka bersedekah.
6. Masyarakat tentera. Contohnya, Mejar (B) Kamarudin bin Ahmad merupakan bekas pegawai tentera dari 4 RAMD.
7. Masyarakat orang Asli. Tok Batin Senik merupakan Tok Batin bagi masyarakat orang asli yang menyelamatkan Faridah dan Iqbal di Bukit Fraser.
8. Masyarakat yang rindu akan anaknya. Salmah sangat menderita kerana terlalu rindu akan anaknya Rahayu yang telah meninggal dunia. Akhirnya dia meninggal dunia.
9. Masyarakat yang tabah menghadapi cabaran. Faridah yang kehilangan adik kembar, ibu, dan suaminya, tabah menghadapi dugaan dan memulakan hidup baharu di New Zealand.
10. Masyarakat yang berdikari. Azrul tidak mengharapkan kerja makan gaji, sebaliknya mengusahakan penternakan kambing dan tapak semaian untuk menampung kehidupannya.
11. Masyarakat yang cenderung menggunakan kekerasan dalam memperjuangkan Islam. Hal ini digambarkan melalui watak Muhamed Attar, dan Benny.
12. Masyarakat yang mempercayai kemampuan bomoh untuk menyelesaikan masalah. Sarjan Yusof mencadangkan misteri kehilangan Faridah dan Iqbal diselesaikan oleh Bomoh setelah pihak polis gagal menemui mereka.
13. Masyarakat yang mempercayai kewujudan makhluk halus. Buyong menegaskan bahawa makhluk halus memang wujud dalam masyarakat kita.
Gaya Bahasa |
1. Penggunaan Bahasa Inggeris
Contoh:
· wind breaker, sindrom down, terrace garden, Smoke House
2. Peribahasa
Contoh:
· Peribahasa Melayu– Masa itu emas
· Peribahasa Arab - Masa umpama sebilah pedang tajam, boleh memenggal kepala
jika kita lambat bertindak.
- Perahu sudah di air, pendayung di tangan
3. Personifikasi
Contoh :
· cahaya di sebalik kabus yang sentiasa memberi harapan
· cuaca yang begitu dingin menggigit
· Senja merangkak tua…
4. Hiperbola
Contoh:
· dosa-dosaku sudah melaut banyaknya…
· tetapi kasihnya menggunung bagai anak kandung
5. Simpulan bahasa
Contoh:
· buah mulut
6. Simile
Contoh :
· … bersambung seperti gajah menyusu dengan rumah agam
· … tetapi kasihnya menggunung bagai anak kandung
7. Metafora
Contoh:
· peti kenangan
· Lipatan ingatan
8. Sinkope (singkatan perkataan)
Contoh:
…”Cukup ke? Tak lapar nanati?”
Nilai |
1. Nilai kasih sayang.
Rahayu amat merindui kakaknya Faridah yang terpisah sejak mereka berusia tujuh tahun kerana kasih sayangnya yang mendalam terhadap kakak kembarnya itu.
2. Nilai ketabahan.
Faridah tabah menghadapi dugaan yang bertimpa-timpa akibat kematian orang-orang yang disayanginya iaitu adiknya, Rahayu, ibunya, Salmah dan suaminya, Ghazali.
3. Nilai kegigihan.
Azrul gigih berusaha memajukan projek ternakan kambing dan tapak semaiannya hingga berjaya.
4. Nilai bertanggungjawab
Setelah ditinggalkan suami, Salmah bekerja di sawah untuk menampung kehidupannya sebagai memenuhi tanggungjawabnya menjaga dua orang anak perempuannya.
5. Nilai cinta akan tanah air
Sungguhpun sudah 25 tahun menetap di New Zealand, Faridah tetap memegang kerakyatan Malaysia kerana dia amat cinta akan tanah airnya.
6. Nilai taat akan ajaran agama
Semasa di Cameron Highlands, setiap hari Soleh menunaikan sembahyang di masjid secara berjemaah.
7. Nilai mengamalkan budaya bangsa
Datuk Azrul mengenakan baju Melayu Johor dan bersongkok hitam semasa mengunjungi keluarga Faridah di Cameron Highlands.
8. Nilai berdikari
Golongan siswazah tidak seharusnya menunggu tawaran kerja yang diberikan oleh pihak kerajaan atau swasta. Sebagai contoh, Azrul bertekad untuk menjadi penternak kambing dan hasratnya itu dipersetujui oleh bapanya.
9. Nilai cinta akan alam sekitar.
Soleh mahu penebangan hutan untuk membina chalet peranginannya dilakukan dengan lebih terkawal serta dihiasi dengan kebun teh, padang ragut untuk kuda liar, dusun buah-buahan sitrus dan taman-taman bunga.
Pengajaran |
1. Kita perlulah mempunyai jati diri yang teguh.
Contohnya, walaupun Faridah sudah 25 tahun tinggal di New Zealand, dia tetap mengingati dan menghargai tanah airnya, Malaysia.
2. Setiap orang perlu gigih berusaha untuk mencapai kemajuan.
Contohnya, Salmah dan Azrul gigih memajukan projek ternakan kambing dan tapak semaiannya hingga berjaya.
3. Setiap ibu bapa perlu bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka.
Contohnya, Salmah sanggup bekerja di sawah bagi menampung kehidupan bersama-sama anak kembarnya, Faridah dan Rahayu setelah Kamarudin meninggalkan mereka.
4. Sebagai penganut agama yang taat, kita hendaklah mematuhi ajaran dan tuntutan agama.
Contohnya, Soleh menunaikan sembahyang di masjid pada setiap hari dan selalu menderma kepada badan kebajikan.
5. Kita perlu mengamalkan budaya bangsa kita.
Contohnya, Faridah mengenakan baju kurung dan berselendang semenjak balik ke tanah air.
6. Sebagai seorang siswazah, janganlah terlalu mengharapkan tawaran kerja makan gaji sahaja.
Contoh, Azrul bertekad untuk menjadi penternak kambing dan hasratnya itu dipersetujui oleh bapanya.
Latihan
1. Berikan tema novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah.
2. Nyatakan tiga pengajaran novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah.
Jawapan
1. Tema novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah ialah jati diri orang Melayu. Tema ini diserlahkan melalui watak utama Faridah yang merantau ke New Zealand selama 25 tahun. Walaupun begitu lama tinggal di negara orang, akhirnya dia dan keluarganya kembali membina kehidupan yang lebih bermakna di Malaysia.
2. Tiga pengajaran novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah ialah:
i. Kita perlulah mempunyai jati diri yang teguh.
Contohnya, walaupun Faridah sudah 25 tahun tinggal di New Zealand, dia tetap mengingati dan menghargai tanah airnya, Malaysia.
ii. Setiap orang perlu gigih berusaha untuk mencapai kemajuan.
Contohnya, Salmah dan Azrul gigih memajukan projek ternakan kambing dan tapak semaiannya hingga berjaya.
iii. Setiap ibu bapa perlu bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka.
Contohnya, Salmah sanggup bekerja di sawah bagi menampung kehidupan bersama-sama anak kembarnya, Faridah dan Rahayu setelah Kamarudin meninggalkan mereka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan