Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 20 Mac 2013

Nota sajak dalam antologi "Kasut Kelopak Jantung"



NOTA SAJAK ANTOLOGI “KASUT KELOPAK JANTUNG” TINGKATAN 1
Sajak “Lebah dan Madu”
Maksud sajak.
1.       Lebah membuat sarang di pokok tualang.Serangga ini sangat rajin dan sentiasa  bekerjasama.
2.       Dalam koloni lebah ini terdapat ratu dan pekerja.Serangga ini bersepakat untuk menghasilkan madu yang menjadi penawar penyakit.
3.       Koloni lebah ini menyedarkan penyajak supaya berusaha bersungguh-sungguh dan berbuat jasa kepada semua.

Tema
Tema tentang hidup bermasyarakat dan berjasa kepada hidupan lain. Buktinya, kita diingatkan supaya mencontohi lebah,iaitu serangga yang mengamalkan kehidupan bermasyarakat dan berjasa kepada hidupan lain.

Persoalan sajak.
1.       Bermuafakat tanpa mengira perbezaan taraf.
2.       Pentingnya semangat bekerjasama dalam pekerjaan.
3.       Kerajaan berusaha dalam mengusahakan sesuatu pekerjaan.
4.       Keinsafan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat.

Nilai
1.       Nilai bekerjasama
2.       Nilai muafakat
3.       Nilai kerajinan
4.       Nilai keinsafan
5.       Nilai kegigihan

Pengajaran
1.       Kita mesti selalu rajin berusaha.
2.       Kita mesti bekerjasama antara satu sama lain.
3.       Kita menyumbang jasa kepada masyarakat.

Bentuk sajak


Gaya bahasa
1.       Anafora      : Pada dahan (R1B2)
                    Pada dahan pohon  tualang (R3B2)                               
2.       Imej alam   : Pohon tualang
3.       Kata ganda : Lebah-lebah
4.       Simile         : seperti madumu yang istimewa
5.       Sinkope      : kau , madumu
6.       Repitisi       : Ada ratu ada pekerja


Sajak “Hari Akhir Persekolahan”

Maksud sajak.
Pada hari persekolahan, dapat dilihat segelintir murid yang masih membaca buku kerana mementingkan ilmu. Ada juga segelintir murid yang teringat akan pesanan guru manakala segelintir murid lagi berasa sedih kerana mereka akan berpisah dengan rakan-rakan serta guru tidak lama lagi.
Selain itu, ada juga segelintir murid yang berasa gembira akan peralihan zaman yang bakal dilalui mereka, iaitu kebebasan. Di samping itu mereka juga akan menempuh dalam kedewasaan.

Tema
Jati diri murid untuk mencintai buku dan menghargai ilmu.
- Murid-murid diingatkan agar mengulang kaji pelajaran walaupun setelah mereka menamatkan persekolahan kelak.

Persoalan sajak.
1) Kepentingan ilmu
- Ilmu sangat penting dalam kehidupan. Pada hari terakhir persekolahan, masih ada murid yang membaca buku kerana menyedari kepentingan ilmu.
2) Pesanan guru
- Pesanan guru akan terus diingati oleh murid sehingga tamat alam persekolahan.
3)Kesedihan akibat perpisahan
- Murid-murid akan berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan dan guru-guru di sekolah.

Nilai
1) Nilai keprihatinan
 -  Prihatin akan pesanan guru   sebelum meninggalkan alam persekolahan.
2) Nilai kerajinan
- Rajin membaca buku.

Pengajaran
1) Kita hendaklah menghargai setiap nasihat dan pesanan yang diberikan oleh guru-guru sebelum meninggalkan alam persekolahan.
2) Kita hendaklah rajin membaca buku untuk menambahkan ilmu pengetahuan.
3) Kita hendaklah gigih dalam menimba ilmu demi mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Bentuk sajak


Gaya bahasa
1) Anafora
Contoh: (i)Yang tersisip (B2)
             Yang mengintip (B5)
          (ii)Ada mata batin (B4)  
             Ada air jernih (B7)

2) Metafora
Contoh: Ada mata batin (B4)
3) Personafikasi
Contoh: Ada mata batin yang mengintip.  (B4 dan B5)

Sajak “Dairi Lama”

Maksud sajak.
Rangkap 1 :
Apabila penyajak membaca catatan dalam diari lamanya semula , timbul perasaan sebak . Namun , air mata penyajak tidak sama nilainya dengan pengorbanan pejuang kemerdekaan sehingga menumpahkan darah.

Rangakap 2:
Penyajak menyatakan rasa cinta pada negara dan menyaksikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara di Dataran Merdeka dengan rasa bangga. Penyajak mengharapkan
negara akan makmur sampai bila – bila .  

Tema
Semangat cinta akan negara  (patriotik) mengimbau kenangan terhadap perjuangan  para pejuang untuk memerdekakan negara kita. Semangat cinta akan tanah air ini dilahirkan melalui perayaan Hari Kebangsaan yang disambut setiap tahun..

Persoalan sajak.
1.       Sanjungan kepada para pejuang dahulu yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan negara .
2.       Rasa bangga menjadi anak Malaysia yang merdeka .
3.       Banyak pengorbanan yang telah dilakukan dalam menuntut kemerdekaan .               

Nilai
1.       Nilai menghargai jasa
2.       Nilai kesyukuran
3.       Nilai patriotik.
4.       Nilai keberanian

Pengajaran
1.       Kita hendaklah menghargai jasa pejuang-pejuang yang menuntut kemerdekaan.
2.       Kita hendaklah bersyukur kerana negara kita aman damai setelah merdeka .
3.       Kita hendaklah mempunyai semangat cinta akan negara .
4.       Kita hendaklah mempertahankan keamanan negara daripada ancaman musuh
5.       Kita hendaklah  bangga akan pejuang-pejuang yang membebaskan negara daripada ancaman musuh .

Bentuk sajak
Gaya bahasa
1.       Personifikasi : menongkah persada , menyambut suka
2.       Paradoks : diulit riang bersalut hiba
3.       Sinkope : tak
4.       Asonansi : sampai bila - bila (pengulangan vokal i)
5.       Aliterasi : anak bumi bertuah merdeka (pengulangan konsonan k)

Sajak “Jangan”

Maksud sajak.
Rangkap 1:
-Penyajak tidak merelakan anaknya dibawa pergi kerana sangat menyayangi anaknya.
Rangkap 2:
-Penyajak berasa sangat sedih apabila anaknya dibawa pergi. Hidupnya sangat menderita apabila terpisah daripada anaknya itu.Hidup penyajak menjadi tidak menentu kerana kasih seorang ayah kepada  anaknya mungkin melebihi daripada perasaan cinta kepada ibunya(isterinya).
Rangkap 3:
-Penyajak yang kehilangan anaknya berazam untuk mencari anaknya itu walaupun di mana-mana sahaja sekalipun.

Tema
Tentang perasaan sayang seorang bapa kepada anak yang adakalanya tidak terhingga.

Persoalan sajak.
1.       Persoalan tentang keazaman seorang bapa untuk mencari anaknya yang hilang.
2.       Persoalan tentang penderitaan jiwa yang dialami seorang bapa apabila terpisah dari anaknya.
3.       Anak itu merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada pegangan suami isteri.

Nilai
1.       Nilai kasih sayang terhadap anaknya.
2.       Nilai kegigihan untuk mencari anaknya sahaja dia berada.
3.       Nilai ketabahan seorang bapa.

Pengajaran
1.       Ibu bapa haruslah memelihara anak-anak dengan penuh kasih sayang.
2.       Kita hendaklah sabar menghadapi dugaan.
3.       Kita hendaklah gigih berusaha.

Bentuk sajak
1.       Rima akhir
-R1 :a,a,b,b,c
-R2:a,b,c,a,c,c,c,c,d,c
-R3:a,b
2.       Bilangan baris rangkap: 2-10 baris
3.       Bilangan kata sebaris: 3-7 baris serangkap
4.       Bilangan rangkap: 3 rangkap

Gaya bahasa
1.       Sinkof
        Contoh:anakku, hidupku,hatiku,kucari, kaubawa
2.       Metafora
        Contoh: permata hati belahan jiwa,
        pembalut luka
3.       Anafora:
        Contoh:
        Jangan bawa pergi anakku (R1B1)
        Jangan kaubawa lari anakku (R2B1)
4.       Inversi
          Contoh:akan ku cari di mana pun dia kini
5.       Aliterasi:
        Contoh :pembalut luka dan penghibur lara (pengulangan konsonan ‘l’)
6.       Asonansi:
        Contoh: Permata hati belahan jiwa (pengulangan vokal ‘a’)

Sajak “Asap”

Maksud sajak.
RANGKAP 1:
Penyair tertanya-tanya tentang asap yang memedihkan matanya hingga membuatkannya menangis.
RANGKAP 2:
Penyair ingin tahu sebab kewujudan asap semakin besar menyebabkan dirinya hampir lemas.
RANGKAP 3:
Asap telah menyebabkan jantungnya mengalami kesesakan.
RANGKAP 4:
Asap tidak boleh disentuh,tetapi bahangnya walaupun tanpa api boleh memusnahkan.

Tema
ž  Temanya tentang alam sekitar, iaitu menceritakan kesan pencemaran alam terhadap manusia persekitaran. Hal ini dapat menyedarkan murid tentang pentingnya memelihara alam sekitar.

Persoalan sajak.
1.       Kesan kebakaran yang memudaratkan.
Kebakaran boleh memudaratkan kepada manusia,haiwan dan alam sekitar.
2.       Asap boleh menyebabkan sesak nafas.
Kesan asap kepada manusia yang boleh menyebabkan manusia sesak nafas
3.       Asap boleh menyebabkan sakit jantung.
Kesan asap rokok kepada manusia yang boleh menyebabkan manusia menghidapi penyakit  jantung tanpa mengira tua atau muda
4.       Asap boleh menyebabkan bumi menjadi panas.
Kesan asap kepada alam yang boleh menyebabkan bumi mengalami peningkatan suhu.
Nilai
1.       Nilai sayang akan alam sekitar  
2.       Nilai menghargai kesihatan diri
3.       Nilai berhati-hati

Pengajaran
1.       Kita hendaklah sayang akan alam sekitar
2.       Kita hendaklah menghargai alam sekitar
3.       Kita hendaklah berhati-hati terhadap api

Bentuk sajak


Gaya bahasa


Khamis, 11 Oktober 2012

Karangan Tema Pelancongan


1) Peranan pelbagai pihak untuk menggalakkan industri pelancongan di Malaysia.

                Dasawarsa, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing telah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak RM150 juta telah diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara. Oleh yang demikian, bagi memastikan sektor pelancongan terus mekar, pelbagai pihak perlu memainkan peranan yang aktif untuk berganding bahu memajukan sektor ini.

                Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Tamsilannya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain  itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia.

                Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Marcapada, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agropelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf dunia. Deduksinya, produk pelancongan yang pelbagai ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaiatu “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.
               
                Selain kerajaan, para pengusaha pelancongan telah diseru agar meningkatkan kualiti perkidmatan mereka. Oleh yang demikian, operator pelancongan perlu bergerak seiring dengan prakarsa kerajaan menarik kemasukan pelancongan  dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan selari dengan harapan pelancong yang datang. Kita tidak mahu senario, indah khabar dari rupa akan menjahanamkan usaha promosi yang telah dilakukan. Maka, para pengusaha tempat penginapan hendaklah menyediakan kemudahan yang kondusif selari dengan kehendak pelancong sama ada melibatkan hotel bertaraf lima bintang mahu pun penginapan inap desa. Seterusnya, para pengusaha pengangutan awam seperti pemandu teksi dan bas pelancongan diingatkan agar menyediakan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan dan memberikan layanan yang mesra kepada para pelancong. Sikap buruk sesetengah pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam amat kita kesali kerana telah merosakkan imej negara. Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tidak kurang penting ialah kebersihan tandas-tandas awam perlu dititikberatkan kerana elemen berkenaan akan menggambarkan mentaliti rakyat tempatan. Tegasnya, pengusaha pelancong yang bertindak sebagai barisan hadapan industri pelancongan wajar menyediakan perkhidmatan yang bertaraf dunia sesuai dengan taraf negara sebagai negara membangun yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju.

                Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Oleh itu, mahajana hendaklah menyokong aktiviti pelancongan domestik kerana bertepuk sebelah tangan, tak akan berbunyi. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan. Mereka janganlah bersikap seperti kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan apabila terlalu taksub untuk melancong ke luar negara. Intihanya, warga tempatan diharapkan agar lebih bersikap patriotik untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

               
                Konklusinya, budaya bahu-membahu antara pihak kerajaan, swasta, dan warga tempatan penting demi kelangsungan sektor pelancongan domestik. Kita berkeyakinan bahawa pada masa akan datang adalah tidak mustahil industri pelancongan tempatan akan standing dengan negara-negara yang telah sedia tersohor dalam bidang pelancongan. Oleh itu,  kita berharap agar destinasi pelancongan seperti Pulau Langkawi akan setanding dengan Pulau Bali di Indonesia. Akhirul kalam, impak daripada kemakmuran sektor pelancongan sudah pasti akan menguntungkan rakyat tempatan yang akan menerima tempias limpahan rezekinya.

2) Faedah/ Kepentingan/ Kelebihan melancong dalam negara.

                Kata orang, “Jauh berjalan, luas pandangan” yang bermaksud semakin banyak kita mengembara, maka semakin banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang yang suka melancong ke luar negara untuk melihat budaya dan rupa bentuk bumi negara orang. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya, wajarkah kita mengenepikan destinasi pelancongan di negara sendiri apabila berhajat untuk berdarmawisata? Oleh yang demikian, kita harus sedar bahawa banyak kemaslahatannya jika kita sebagai warga Malaysia melancong dalam negara.

                Sedar atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan warisan negara. Tamsilannya, negara kita kaya dengan pelbagai keindahan khazanah alam semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka Bandar raya Bersejarah, dan Georgetown yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Sementelahan pula, masyarakat majmuk di negara kita telah mewujudkan kepelbagaian budaya dari segi kesenian, perayaan, dan makanan. Dengan kata lain, kita akan lebih memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum rakyat Malaysia jika melancong dalam negara. Oleh yang demikian, akan timbullah perasaan bangga dan cinta akan tanah air. Pendek kata, usahlah kita bersikap seperti lembu yang sentiasa melihat rumput di seberang lebih hijau daripada rumput-rumput yang sedang diragut.

                Di samping itu, pertambahan bilangan pelancong domestik mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini, secara tidak langsung akan menambah peluang pekerjaan dan perniagaan. Misalnya, industri perhotelan, taman tema, restoran, dan pusat beli-belah yang sinonim dengan industri pelancongan akan  menawarkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang kerjaya boleh dicipta daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian khidmat pelanggan. Buktinya, sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion keluaran dalam negara kasar  (KDNK) pada tahun 2011. Izharnya, bagi menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kemasukan pelancong asing yang dipengaruhi oleh banyak faktor seperti wabak penyakit dan keselamatan global. Tuntasnya, pelancong tempatan memberikan impak yang besar kepada kemajuan industri pelancongan domestik.

                Jika kita renungkan sejenak, kita akan mendapati bahawa apabila kita melancong dalam negara kita dapat menjimatkan kos. Realitinya, jika berhajat untuk melancong ke luar negara, kita memerlukan bajet yang besar untuk tambang pengangkutan, tempat penginapan, dan makan minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika melibatkan kadar tukaran wang kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati, kadar tukaran wangnya lebih tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun, Korea, Singapura dan Britian. Kelebihan yang kita peroleh apabila melancong dalam negara ialah ghalibnya kita diberikan potongan harga atau diskaun oleh pihak hotel atau pihak pengurusan taman tema. Malahan, kita boleh memandu kenderaan sendiri untuk bergerak dari suatu destinasi ke suatu destinasi, bukankah itu akan menyelamatkan bajet kita. Deduksinya, jika hendak  melancong ukurlah baju di badan sendiri kerana jika kita melancong dalam negara, kita tidak perlu berbelanja besar.

                Tambahan pula, aktiviti melancong dalam negara mampu menjadi wadah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini disebabkan kos melancong dalam negara yang secara relatifnya lebih murah daripada melancong ke luar negara. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa ahli keluarga dalam bilangan yang lebih besar, terutamanya anak-anak. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan pilihan, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan sekali gus akan memperkukuh ikatan kekeluargaan ibarat sambil menyelam minum air. Ringkasnya, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa ambillah peluang yang ada untuk membawa anak-anak melancong untuk menyuburkan ikatan ukhuwah antara ahli keluarga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

                Konklusinya, pelancong domestik mampu memacu kepada iklim ekonomi yang memberangsangkan. Pada masa yang sama dapat menyemai semangat patriotik yang seterusnya memperkukuh jati diri rakyat tempatan. Oleh itu, pelbagai prakarsa untuk memajukan industri pelancongan domestik hendaklah disokong oleh warga tempatan demi kelestarian industri berkenan. Janganlah kita menjadi sokong yang membawa rebah. Akhirul kalam, melanconglah agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.


3) Kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Marcapada, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing telah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak RM150 juta telah diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara. Statistik yang ditunjukkan menunjukkan bahawa negara kita semakin mendapat tempat dalam kalangan warga asing untuk dilawati. Persoalannya, apakah keistimewaan Malaysia yang menyebabkan pelancong asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka?

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia memiliki pelbagai tempat yang menarik yang mampu menggamit kedatangan pelancong asing. Kita berasa bertuah kerana bumi tercinta ini memiliki pantai yang memutih dan indah dengan udaranya yang nyaman seperti Pantai Chenang di Langkawi, Pantai Teluk Chempedak di Pahang dan Pantai Karambunai di Sabah. Bagi pencinta hidupan marin, maka sudah pasti mereka boleh memilih destinasi selaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara yang tercantik di dunia seperti Pulau Sipadan di Sabah dan Pulau Perhentian di Terengganu. Selanjutnya, untuk para pencinta alam semula jadi, Malaysia mempunyai hutan rimba yang berusia jutaan tahun, tamsilannya Hutan Belum di Perak, Mensilau-Basin di Sabah dan Hutan Endau-Rompin di Pahang. Sementelahan, Bandar raya Bersejarah Melaka dan Georgetown yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjanjikan keterujaan kepada para pelancong yang menyukai tempat-tempat bersejarah dan kehalusan estetika dalam seni bina silam. Pendek kata, “macam-macam ada di Malaysia!”

Keistimewaan Malaysia yang seterusnya ialah masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kamu dan latar belakang mewujudkan pelbagai budaya yang mewakili setiap kaum dari seluruh Asia. Fenomena inilah yang menyebabkan Kementerian Pelancongan telah memilih slogan “Malaysia Truly Asia” atau “Malaysia ialah Asia” sebagai slogan untuk Kempen Pelancongan. Suatu perkara yang tidak dapat disangkal ialah warna-warni kebudayaan rakyat Malaysia dari segi sambutan hari-hari perayaan, pakaian, makanan, kesenian dan pertuturan sudah pasti memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pelancong, contohnya sambutan Citrawarna Malaysia dan “Malaysian Kitchen” memberi ruang untuk para pelancong memahami kebudayaan rakyat Malaysia. Tegasnya, para pelancong asing hanya perlu ke Malaysia jika mahu mengenali kebudayaan masyarakat di Asia.

Selain itu, salah satu daya tarikan yang ada di Malaysia ialah kemudahan infrastruktur yang kondusif untuk para pelancong seperti sistem pengangkutan dan tempat penginapan. Bagi memudahkan para pelancong dari luar, syarikat penerbangan nasional, iaitu Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia bersedia untuk membawa pelancong dari serata dunia ke destinasi pelancongan di Malaysia.  Di samping itu, jaringan lebuh raya dan rel seperti sistem transit aliran ringan (LRT), komuter, dan monorel menyenangkan mobiliti para pelancong. Manakala, dari segi tempat penginapan terdapat pelbagai kategori berdasarkan bajet masing-masing tersedia, daripada hotel bertaraf lima bintang, motel, inap desa hinggalah asrama yang berkos rendah. Intihanya, kemudahan prasarana yang berkualiti telah memastikan para pelancong selesa berada di negara kita.

Satu lagi elemen yang tidak kurang penting ialah sikap rakyat Malaysia yang ramah dan berbudi bahasa. Keramahan warga tempatan menyebabkan warga asing berasa bahawa kehadiran mereka sangat dialu-alukan di negara ini. Malah, para pelancong juga berasa selamat ketika melancong di sini disebabkan mereka mudah untuk mendapatkan bantuan jika menghadapi sebarang masalah. Sikap rakyat Malaysia itu menyebabkan pelancong asing terdorong untuk berkunjung berkali-kali ke Malaysia. Izharlah bahawa,  mahajana ibarat duta kecil yang berperanan untuk menjaga imej negara di mata para pelancong.

Kesimpulannya, Malaysia berpotensi untuk menjadi destinasi wajib kepada warga asing yang mahu berdarmawisata. Oleh yang demikian, kerjasama antara semua pihak sama ada pihak kerajaan, swasta dan orang ramai harus diperkukuh demi kelangsungan industri pelancongan di negara ini kerana jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Tuntasnya, kita berharap kedatangan pelancong asing ke negara kita akan bertambah tahun demi tahun sejajar dengan pelbagai usaha yang dilakukan bagi menarik mereka untuk berkunjung ke sini.