1.0 PENDAHULUAN
Dalam penulisan karangan langkah yang perlu dipenuhi oleh
setiap pelajar ialah:
a) Idea
Untuk mengarang harus mempunyai idea. Idea
lazimnya diperoleh melalui pembacaan. Oleh itu, pembacaan amat penting untuk
kita menggarap idea dalam penulisan karangan.
b) Fakta
Fakta-fakta yang berkaitan dengan idea akan
menjadikan karangan yang dihasilkan bermutu dan menampakkan penguasaan maklumat
yang luas. Fakta yang disertakan dalam karangan akan mengukuhkan idea kita.
Fakta-fakta dalam karangan termasuklah statistik, contoh kejadian/peristiwa,
pendapat tokoh dan sebagainya.
c) Perancangan
Sebelum memulakan gerak kerja penulisan
karangan, kita perlu membina kerangka karangan meliputi bahagian pendahuluan,
perenggan isi dan penutup karangan. Banyak pelajar terus sahaja menulis
karangan setelah diberikan soalan atau latihan tanpa menyediakan kerangka
karangan. Akibatnya, idea yang ingin disampaikan tidak tersusun, malah banyak
yang ‘kematian’ idea ketika proses mengarang.
d) Teknik mengarang
Mengarang melibatkan teknik. Terdapat
pelbagai teknik penulisan yang boleh diaplikasikan untuk menulis pendahuluan,
perenggan isi dan penutup. Penguasaan terhadap teknik mengarang amat membantu
kita ketika mengarang agar idea yang hendak disampaikan menarik minat pembaca
untuk meneruskan pembacaan mereka.
e) Pengeditan/ penyemakan
Karangan yang telah ditulis perlu melalui
proses pengeditan/penyemakan. Hal ini deisebabkan mungkin terdapat
kesilapan-kesilapan dari segi ejaan, tanda baca dan tatabahasa yang boleh
menjejaskan mutu karangan yang telah ditulis. Jadi, luangkan beberapa minit
untuk mengedit. menyemakn karangan yang telah dihasilkan.
2.0 TEKNIK
MENULIS PENDAHULUAN.
Pendahuluan
sangat penting dalam karangan kerana bertujuan untuk menarik perhatian pembaca
terhadap tajuk yang dibincangkan. Oleh itu, pendahuluan harus mempunyai pautan
dengan tajuk yang dipilih. Pada pendahuluan karangan harus mengandungi ayat
rangsangan dan ayat arah.
Ayat rangsangan harus
menimbulkan perasaan ingin tahu atau tindak balas pembaca untuk terus membaca
manakala ayat arah akan memberitahu pembaca tentang topik/tajuk yang akan
diperkatakan.
Pada asasnya, terdapat satu
teknik yang boleh diaplikasikan untuk menulis pendahuluan, iaitu menggunakan
teknik TIK. Akronim TIK ialah Tema, Isu semasa dan Kehendak soalan.
a)
Tema
merupakan idea yang mampu memberikan gambaran asas tentang isu atau topik yang
hendak diperkatakan. Maka, tema boleh merupakan peribahasa yang berkaitan
dengan isu, pendapat, definisi konsep, suasana, soalan, dan statistik/ perangkaan.
b)
Isu
semasa ialah senario semasa yang boleh dikaitan dengan tema.
c)
Kehendak
soalan ialah aspek yang dikehendaki oleh soalan yang perlu
dikupas/dihuraikan.
Oleh yang demikian, berdasarkan tema yang telah dikenal
pasti ini lalu terciptalah beberapa jenis pendahuluan yang boleh dihasilkan,
iaitu:
a)
Pendahuluan jenis peribahasa;
b)
Pendahuluan jenis soalan;
c)
Pendahuluan jenis perangkaan/statistik;
d)
Pendahuluan jenis suasana;
e)
Pendahuluan jenis pendapat;
f)
Pendahuluan jenis definisi;
g)
Pendahuluan jenis gabungan.
a) Pendahuluan jenis peribahasa.
Pendahuluan jenis ini memanfaatkan peribahasa atau kata-kata
hikmat yang sesuai dengan topik yang menjadi soalan.
Contoh: Semangat gotong-royong menjadi amalan rakyat
Malaysia sejak turun-temurun. Jelaskan impak semangat berkeaan dalam masyarakat
masa kini.
Rangka pendahuluan:
Isu semasa
|
·
Semangat
gotong-royong dalam kalangan masyarakat kini semakin terpinggir.
|
Tema
(peribahasa)
|
•
‘Ringan
sama dijinjing, berat sama dipikul’ memberikan mesej yang jelas kepada kita
tentang betapa pentingnya semangat bergotong-royong.
|
Kehendak soalan
|
•
Bermuafakat dan bekerjasama dalam kalangan
ahli masyarakat sudah pasti banyak mendatangkan impak yang positif.
|
Contoh huraian:
Semangat gotong-royong dalam
kalangan masyarakat kini semakin terpinggir lantaran kesibukan mereka mengejar
material. Sedangkan, peribahasa ‘Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’
merupakan antara peribahasa yang telah menjadi basahan dalam kehidupan kita
sehari-harian yang memberikan mesej yang jelas kepada kita tentang betapa
pentingnya semangat bergotong-royong. Sesungguhnya, bermuafakat dan bekerjasama
dalam kalangan ahli masyarakat sudah pasti banyak mendatangkan impak yang positif.
b) Pendahuluan jenis soalan.
Pendahuluan jenis ini, memfokuskan pada beberapa ayat tanya
yang sama ada berjawaban atau tidak yang berkaitan dengan isu.
Contoh soalan: Budaya makan di luar kini menjadi sebahagian
daripada budaya masyarakat Malaysia. Bincangkan kesan amalan ini pada gaya
hidup masyarakat.
Rangka pendahuluan:
Isu semasa
|
Ø
budaya makan di luar sudah menjadi cara
hidup
|
Tema
(soalan)
|
Ø
Mengapakah sesebuah keluarga perlu makan di
luar?
Ø
Persoalannya mengapakah ada sesetengah
keluarga di Malaysia menjadikan tabiat makan di luar sebagai amalan setiap
kali waktu makan?
Ø
Adakah
mereka sudah terlalu kaya atau tidak tahu memasak?
|
Kehendak soalan
|
Ø
Persoalannya, apakah kesan budaya ini kepada
gaya hidup masyarakat?
|
Contoh huraian:
Budaya makan di luar sudah menjadi
cara hidup bagi kebanyakan penduduk di Malaysia lantaran begitu banyak gerai
dan restoran yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Mengapakah sesebuah
keluarga perlu makan di luar? Mungkin ramai yang bersetuju bahawa tidak salah
sesekali makan di luar rumah. Namun, persoalannya mengapakan ada sesetengah
keluarga di Malaysia menjadikan tabiat makan di luar sebagai amalan setiap kali
waktu makan? Adakah mereka sudah terlalu kaya atau tidak tahu memasak? Persoalannya,
apakah kesan budaya ini kepada gaya hidup masyarakat?
c) Pendahuluan jenis perangkaan.
Kita boleh memanfaatkan data-data statistik yang ada kaitan
dengan tajuk untuk menghasilkan pendahuluan
jenis perangkaan. Oleh itu, catatlah statistik yang diperoleh semasa pembacaan
kerana amalan ini amat membantu kita untuk menulis pendahuluan jenis ini.
Contoh soalan: Gejala sosial dalam kalangan remaja semakin
menjadi-jadi belakangan ini. Huraikan peranan pihak-pihak tertentu dalam
menangani masalah berkenaan.
Rangka pendahuluan:
Isu semasa
|
•
Perangkaan terbaharu yang dikeluarkan oleh
Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung dengan gejala negatif dalam kalangan
remaja amatlah menggerunkan.
|
Tema
(Perangkaan)
|
•
71
peratus golongan remaja berusia antara 13 hingga 21 tahun didapati merokok,
40 peratus menonton video lucah, 28 peratus terlibat dengan perjudian, dan 14
peratus menagih dadah.
|
Kehendak soalan
|
•
pelbagai pihak memainkan peranan bagi
membendung masalah ini.
|
Contoh huraian:
Perangkaan terbaharu yang
dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung dengan gejala negatif
dalam kalangan remaja amatlah menggerunkan kita. Lebih kurang 71 peratus
golongan remaja berusia antara 13 hingga 21 tahun didapati merokok, 40 peratus
menonton video lucah, 28 peratus terlibat dengan perjudian, dan 14 peratus
menagih dadah. Kes-kes jenayah yang membabitkan remaja meningkat dengan
pesatnya, serancak pertumbuhan ekonomi negara. Sesungguhnya, pelbagai pihak
memainkan peranan bagi membendung masalah ini.
d) Pendahuluan
jenis suasana.
Bagi
menghasilkan pendahuluan jenis suasana, kita boleh memanfaatkan suasana/
senario/ peristiwa yang dapat dikaitkan dengan tajuk/ isu. Pendahuluan jenis
ini mampu menimbulkan kesan dramatik yang dapat menarik minat pembaca.
Contoh
soalan: Isu penebangan hutan yang tidak terkawal kini semakin mendapat
perhatian daripada pelbagai pihak. Huraikan kesan penebangan hutan kepada kehidupan
sejagat.
Rangka
pendahuluan:
Isu semasa
|
• Eksploitasi hutan oleh pihak yang rakus
mengejar kebendaan kian berleluasa seolah-olah tiada penghujungnya.
|
Tema
(Suasana)
|
• Pokok-pokok
balak seperti meranti, cengal dan merbau satu demi satu menyembah bumi.
• Kini
yang tinggal hanya tunggul-tunggul mati yang mereput dimamah masa.
• hutan
gondol segondolnya menanti untuk dihakis oleh limpahan air hujan yang
menyimbah lebat.
|
Kehendak
soalan
|
• kehidupan sejagat sudah pasti akan menerima
impaknya yang maha dahsyat.
|
Contoh huraian:
Pengeksploitasian hutan oleh pihak
yang rakus mengejar kebendaan kian berleluasa seolah-olah tiada penghujungnya.
Pokok-pokok balak seperti meranti, cengal dan merbau satu demi satu menyembah
bumi. Kini, yang tinggal hanya tunggul-tunggul mati yang mereput dimamah masa.
Hutan yang gondol segondolnya pula hanya berserah menanti untuk dihakis oleh
limpahan air hujan yang menyimbah lebat. Ironinya, si penjenayah alam sekitar
itu seolah-olah tidak sedar bahawa kehidupan sejagat sudah pasti akan menerima
impaknya yang maha dahsyat akibat ketamakan mereka itu.
e) Pendahuluan jenis pendapat.
Kadang kala kita boleh menggunakan pendapat umum atau tokoh
bagi menghasilkan pendahuluan karangan. Oleh itu, penduluan yang terhasil
dinamakan pendahuluan jenis pendapat.
Contoh soalan: Peningkatan kes pelanggaran disiplin dalam
kalangan pelajar semakin memeningkan semua pihak. Namun begitu, punca masalah
berkenaan perlu dikenal pasti sebelum langkah-langkah yang ampuh boleh
dilaksanakan. Bincangkan.
Rangka karangan:
Isu semasa
|
Ø
Masalah disiplin dalam kalangan pelajar
semakin membimbangkan.
|
Tema (Pendapat)
|
Ø
cadangan agar hukuman rotan diadakan semula
untuk menghukum mereka yang melanggar disiplin.
|
Kehendak soalan
|
Ø
punca
masalah ini mestilah dikenal pasti terlebih dahulu.
|
Contoh huraian:
Masalah disiplin dalam kalangan
pelajar semakin membimbangkan. Malah, setiap hari ada sahaja laporan tentang
pelanggaran disiplin tidak kiralah sama ada melibatkan kesalahaan yang kecil
atau kesalahan yang besar oleh golongan pelajar. Hal berkenaan semakin
memeningkan kepala semua pihak lalu pelbagai
cadangan telah diajukan bagi membendung gejala ini. Oleh itu, timbul
cadangan agar hukuman rotan diadakan semula untuk menghukum mereka yang
melanggar disiplin atau melakukan kesalahan jenayah atau salah laku di sekolah.
Namun begitu, punca masalah ini mestilah dikenal pasti terlebih dahulu.
f) Pendahuluan jenis definisi.
Salah satu cara untuk menulis pendahuluan adalah dengan
mentakrifkan atau mendefinisikan kata kunci bagi tajuk yang dibincangkan.
Pendefinisian boleh ditulis sama dari segi maksud literal atau maksud dari segi
konsep.
Contoh soalan: Inflasi yang dialami oleh sesebuah negara
membimbangkan penduduknya yang bermaksud beban kewangan mereka semakin
meningkat. Oleh itu, bincangkan usaha-usaha untuk membendung masalah inflasi.
Rangka pendahuluan:
Tema (Takrif)
|
Ø
Inflasi
- kenaikan harga barangan dan
perkhidmatan untuk jangka masa yang tertentu.
Ø
tercetus apabila terdapat lebihan permintaan
daripada penawaran bagi barangan dan perkhidmatan.
|
Isu semasa
|
Ø
Malaysia mengalami kadar inflasi yang rendah
- kadar 3.5 peratus.
|
Kehendak Soalan
|
Ø
usaha
untuk menanganinya harus difikirkan bersama-sama.
|
Contoh huraian:
Inflasi ialah kenaikan harga
barangan dan perkhidmatan untuk jangka masa yang tertentu. Inflasi tercetus
apabila terdapat lebihan permintaan daripada penawaran bagi barangan dan
perkhidmatan. Pada masa ini , Malaysia mengalami kadar inflasi yang rendah
iaitu pada kadar 3.5 peratus, namun hal berkenaan tetap meresahkan rakyat
terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.Hal itu, bermakna
beban kewangan mereka akan semakin menghimpit lalu kehidupan mereka semakin
sempit. Oleh itu, usaha untuk
menanganinya harus difikirkan bersama-sama.
g) Pendahuluan jenis gabungan.
Pendahulan jenis gabungan ialah pendahuluan yang
menggabungkan beberapa jenis pendahuluan.
Contoh soalan: Rakyat di negara maju sentiasa menjadikan
budaya membaca sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka. Namun, di
Malaysia budaya ini belum menjadi amalan keseluruhan rakyatnya. Bincangkan
langkah-langkah bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat
Malaysia.
Rangka karangan:
Tema
(peribahasa)
|
Ø
Ayat al-Quran yang pertama turun ke bumi
dalam usaha memandu manusia ke arah kebaikan ialah “Iqrak” bermaksud
“Bacalah” dan peribahasa Cina “Bacalah sehingga tua, belajarlah sehingga
akhir hayat” menunjukkan betapa pentingnya tabiat membaca .
|
Tema
(perangkaan)
|
Ø
kajian
Tabiat Membaca di Malaysia yang telah dijalankan pada tahun 1996 mencatatkan
secara purata rakyat Malaysia membaca dua helai buku ilmiah setahun.
|
Isu semasa
|
Ø
amalan
membaca belum menjadi budaya masyarakat Malaysia.
|
Kehendak soalan
|
Ø
langkah
yang tuntas perlu dilakukan untuk menyemarakkan budaya membaca .
|
Contoh huraian:
Kata-kata hikmat “Membaca jambatan
ilmu” dan peribahasa Cina “Bacalah sehingga tua, belajarlah sehingga akhir
hayat” menunjukkan betapa pentingnya tabiat membaca dalam pembentukan minda,
sahsiah, dan kerohanian manusia. Berhubung dengan dunia pembacaan di Malaysia,
kajian Tabiat Membaca di Malaysia yang telah dijalankan pada tahun 2010
mencatatkan secara purata rakyat Malaysia membaca sebuah buku ilmiah setahun. Hal
ini menunjukkan bahawa amalan membaca belum menjadi budaya masyarakat Malaysia.
Oleh itu, langkah yang tuntas perlu dilakukan untuk menyemarakkan budaya
membaca dalam kalangan warga Malaysia.
LATIHAN MENULIS
PERENGGAN PENDAHULUAN.
Tulis pendahuluan karangan berdasarkan soalan berikut:
- Persaingan untuk mencari pekerjaan marcapada kini semakin sengit. Sebagai seorang remaja huraikan usaha-usaha yang harus anda lakukan bagi memperoleh pekerjaan yang anda idam-idamkan. [Pendahuluan jenis soalan]
- Pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah sangat penting untuk generasi akan datang. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah di negara kita. [Pendahuluan jenis peribahasa]
- Makanan
ringan atau makanan rapu dikatakan antara punca kegemukan dalam kalangan
remaja. Bincangkan. [Pendahuluan
jenis perangkaan]
- Kemajuan yang sangat pesat di negara kita telah menarik beribu-ribu pekerja asing ke negara kita. Huraikan pendapat anda tentang kesan kemasukan pekerja asing ke negara kita. [Pendahuluan jenis gabungan]
3.0 TEKNIK MENULIS PERENGGAN ISI
Perenggan isi merupakan bahagian yang paling penting yang
akan menjawab kehendak soalan. Berjaya atau tidaknya sesebuah karangan
bergantung pada kupasan pada bahagian ini. Secara asasnya perenggan isi
mestilah mengandungi:
a)
Ayat Topik (AT)
, iaitu isi pokok yang menjadi asas perbincangan pada perenggan berkenaan.
b)
Ayat Huraian (AH) , iaitu ayat yang akan menjelaskan maksud dan menyokong kerelevanan isi pokok.
c)
Ayat Contoh (AC)
, pula merupakan bukti atau fakta yang akan menyokong kebenaran isi pokok yang
boleh merupakan data, peristiwa, pendapat, analogi dan sebagainya.
d)
Ayat Rumusan (AR) , ialah kesimpulan bagi perenggan isi yang berkenaan.
Oleh itu, ayat-ayat dalam
perenggan isi boleh diakronimkan sebagai ATAHACAR.
Suatu masalah yang sering kita
hadapai untuk merangka perenggan isi ialah apa yang hendak dihuraikan? Maka,
masalah ini boleh diatasi dengan cara memanfaatkan kaedah 5W 1H , iaitu apa?, kenapa?/ mengapa?, siapa?, di mana?,
bila? dan bagaimana?
Contoh mengaplikasikan kaedah
5W1H dalam merangka perenggan isi.
Soalan: Makanan ringan punca
kegemukan dalam kalangan remaja. Bincangkan.
Ayat Topik
|
Apakah
elemen dalam makanan ringan yang menggemukkan?
|
•
Kebanyakan makanan ringan menggandungi
lemak, gula, dan karbohidrat yang menggemukkan.
|
|
Ayat Huraian
|
Bagaimanakah
elemen-elemen ini menggemukkan?
|
•
Selain lemak, gula dan karbohidrat yang
dihasilkan daripada proses metabolisme akan menjadi lemak jika tidak
digunakan sebagai tenaga.
•
Semakin banyak makanan ringan dimakan, maka
semakin banyak lemak yang terkumpul di dalam badan.
|
|
Ayat Contoh
|
Apakah
contoh makanan ringan yang menggemukkan?
|
•
Makanan
ringan seperti kek, minuman bergas, keropok, dan kentang goreng mengandungi
banyak gula, lemak, dan karbohidrat.
|
|
Ayat Rumusan
|
Kenapa
kita perlu mengelakkan makanan ringan?
|
•
Komponen dalam makanan ringan menyebabkan
kegemukan.
|
Isi
yang menarik juga bergantung pada cara atau kaedah kita mengolah perenggan isi
berkenaan. Oleh yang demikian, terdapat dua kaedah yang boleh diapliksaikan,
iaitu yang mengutamakan isi pokok dan mengutamakan contoh.
a) Perenggan yang mengutamakan isi pokok
(ATAHACAR)
AT
|
·
Kebanyakan makanan ringan menggandungi lemak,
gula, dan karbohidrat yang menggemukkan.
|
AH
|
·
Selain lemak, gula dan karbohidrat yang
dihasilkan daripada proses metabolisme akan menjadi lemak jika tidak
digunakan sebagai tenaga.
·
Semakin banyak makanan ringan dimakan, maka
semakin banyak lemak yang terkumpul di dalam badan.
|
AC
|
Ø
Makanan ringan seperti kek, minuman bergas,
keropok, dan kentang goreng mengandungi banyak gula, lemak, dan karbohidrat.
|
AR
|
Ø
Komponen dalam makanan ringan menyebabkan
kegemukan.
|
Contoh huraian:
Kebanyakan makanan ringan
mengandungi lemak, gula, dan karbohidrat yang sebenarnya penyumbang kepada
masalah kegemukan.[Ayat Topik]. Apabila kita makan terlalu banyak makanan
ringan, gula dan karbohidrat yang terkandung di dalam makanan ini akan bertukar
menjadi lemak jika tidak digunakan sebagai tenaga. [Ayat Huraian]. Oleh itu,
semakin banyak makanan ringan yang dimakan semakin banyaklah lemak yang akan
terkumpul di dalam badan. [Ayat Huraian]. Makanan ringan
seperti kek, minuman bergas, keropok dan kentang goreng mengandungi banyak
lemak, gula, dan karbohidrat. [Ayat Contoh].Tuntasnya, komponen
dalam makanan ringan itulah yang menjadi pencetus kepada kegemukan dalam
kalangan remaja. [Ayat Rumusan]
b) Perenggan yang mengutamakan contoh
(ACATACAR)
AC
|
·
Makanan ringan seperti kek, minuman bergas,
keropok, dan kentang goreng mengandungi banyak gula, lemak, dan karbohidrat.
|
AT
|
·
Kebanyakan makanan ringan menggandungi lemak,
gula, dan karbohidrat yang menggemukkan.
|
AH
|
·
Selain lemak, gula dan karbohidrat yang
dihasilkan daripada proses metabolisme akan menjadi lemak jika tidak
digunakan sebagai tenaga.
·
Semakin banyak makanan ringan dimakan, maka
semakin banyak lemak yang terkumpul di dalam badan.
|
AR
|
Ø
Komponen dalam makanan ringan menyebabkan
kegemukan.
|
Contoh huraian:
Tanpa kita sedari bahawa makanan
ringan seperti kek, minuman bergas, keropok dan kentang goreng mengandungi
banyak lemak, gula, dan karbohidrat. [Ayat Contoh]. Elemen lemak, gula,
dan karbohidrat inilah sebenarnya penyumbang kepada masalah kegemukan.[Ayat
Topik]. Apabila kita makan terlalu banyak makanan ringan, gula dan
karbohidrat yang terkandung di dalam makanan ini akan bertukar menjadi lemak
jika tidak digunakan sebagai tenaga. [Ayat Huraian]. Oleh itu, semakin
banyak makanan ringan yang dimakan semakin banyaklah lemak yang akan terkumpul
di dalam badan. [Ayat Huraian]. Tuntasnya, komponen dalam makanan ringan itulah
yang menjadi pencetus kepada kegemukan dalam kalangan remaja. [Ayat
Rumusan]
LATIHAN MEMBINA
PERENGGAN ISI.
Soalan latihan.
Kemajuan bidang teknologi maklumat dan komunikasi
semakin pesat sehingga mengubah gaya hidup masyarakat di seluruh dunia.
Bincangkan kesan kemajuan bidang berkenaan kepada gaya hidup masyarakat di
Malaysia.
Contoh isi:
- Membentuk masyarakat yang bermaklumat
- Masyarakat dapat berhubung secara global
- Mewujudkan masyarakat yang tidak bermoral
- Kurang kemahiran berkomunikasi dan bersosial
Rangka isi:
Isi 1
Ayat Topik
|
Apakah kebaikan
ICT?
|
•
membentuk masyarakat yang bermaklumat.
|
|
Ayat Huraian
|
Bagaimanakah senario ini berlaku?
|
•
Masyarakat senang utuk memperoleh maklumat
dengan hanya satu klik di internet.
•
Maklumat yang diperlukan pula mampu diakses
dengan cepat dan pada bila-bila masa – menjimatkan masa.
|
|
Ayat Contoh
|
Apakah contoh enjin carian yang boleh
membantu?
|
•
masyarakat boleh memanfaatkan enjin carian
seperti ‘goole’ atau ‘yahoo’ dalam pencarian maklumat.
|
|
Ayat Rumusan
|
Apakah kebaikan jika masyarakat
bermaklumat?
|
• masyarakat tidak menjadi seperti katak di
bawah tempurung.
|
Isi 2
Ayat Contoh
|
Apakah contoh laman sosial yang popular?
|
Ø ‘Facebook’,
‘Twitter’, ‘Myspace’ dan ‘Skype’.
|
|
Ayat Topik
|
Apakah kebaikan
ICT?
|
•
masyarakat dapat berhubung secara global.
|
|
Ayat Huraian
|
Bagaimanakah senario ini berlaku?
|
•
Penciptaan laman sosial memudahkan masyarakat
untuk berhubung dengan sesiapa sahaja di peringkat nasional mahupun
antarabangsa.
|
|
Siapakah yang akan memperoleh manfaat
daripada hubungan berkenaan?
|
|
•
Penggunaan internet boleh bertukar-tukar
maklumat tentang bidang yang diminati.
•
Peniaga menjalin hubungan perniagaan di
peringkat global – meluaskan pasaran.
|
|
Ayat Rumusan
|
Apakah yang terjadi kepada cara masyarakat
berhubung?
|
• jalinan persahabatan atau perniagaan semakin
luas melangkau batas negara dan benua.
|
Isi 3.
Ayat Contoh
|
Apakah bukti yang menyokong?
|
Ø 13
peratus remaja dalam lingkungan 15 hingga 21 tahun melakukan hubungan seks
sebelum berkahwin kerana terangsang oleh unsur pornografi dalam laman
sesawang.
|
|
Ayat Topik
|
Apakah keburukan ICT?
|
•
mewujudkan masyarakat yang tidak bermoral.
|
|
Ayat Huraian
|
Bagaimanakah senario ini berlaku?
|
•
pengguna ICT menyalahgunakan kecanggihan
teknologi ini.
•
terdedah kepada pelbagai kandungan maklumat yang berunsurkan negatif
– laman sesawang pornografi, blog yang menyebarkan fahaman songsang.
•
terdapat sesetengah pengguna yang ghairah
memuat naik gambar atau video peribadi yang mengandungi aksi kurang sopan.
|
|
Ayat Rumusan
|
Bagaimanakah masalah ini boleh diatasi?
|
• generasi muda hendaklah diperkukuh dengan
benteng agama dan moral.
|
Isi 4
Ayat Topik
|
Apakah keburukan
ICT?
|
•
kurang
kemahiran berkomunikasi dan bersosial.
|
|
Ayat Huraian
|
Bagaimanakah senario ini berlaku?
|
•
orang
ramai lebih selesa bersosial secara atas talian atau menerusi alam maya.
•
mereka
menjadi kekok untuk berkomunikasi secara bertentang mata.
•
terdapat kecenderungan untuk menggunakan
singkatan ejaan atau bahasa slanga
yang hanya difahami oleh kelompok tertentu.
|
|
Ayat Contoh
|
Apakah bukti yang menyokong?
|
•
ejaan
singkatan seperti ‘dtg’ untuk datang, ‘cer’ untuk cerita.
•
Bahasa slanga seperti ‘koyak’ untuk malu,
‘kena kencing’ untuk kena tipu
|
|
Ayat Rumusan
|
Apakah saranan?
|
• masyarakat harus belajar menghargai bahasa
dan cinta akan bahasa kerana bahasa jiwa bangsa.
|
4.0 TEKNIK MENULIS PERENGGAN PENUTUP
Perenggan penutup sama penting dengan perenggan pendahuluan
dan isi. Terdapat empat jenis penutup yang boleh diaplikasikan dalam penulisan,
iaitu:
a)
Meninggalkan pembaca dengan persoalan.
b)
Membuat ramalan
c)
Membuat cadangan
d)
Rumusan kronologi
a) Meninggalkan pembaca dengan persoalan.
Penutup
jenis ini adalah dengan meninggalkan pembaca dengan soalan-soalan yang mampu
membuka minda pembaca untuk sama-sama berfikir akan isu yang dibincangkan.
Contoh: Cara untuk menangani penyalahgunaan dadah di
Malaysia.
Saranan
|
marilah
kita menggembleng tenaga tanpa rasa jemu untuk mengawal gejala penyalahgunaan
dadah yang berbahaya ini.
|
Soalan 1
|
Sampaikah
hati kita melihat generasi negara kita akan datang ibarat mayat hidup yang
menjadi hamba dadah?
|
Soalan 2
|
Adakah
wajar kita berpeluk tubuh sahaja?
|
Soalan 3
|
Relakah
kita, membiarkan ketamadunan bangsa yang dibina lebih setengah abad ini
runtuh akibat dadah durjana?
|
Peribahasa
|
Janganlah
sudah terhantuk, baru nak tengadah
|
Contoh
huraian:
Akhir kata, marilah kita bersatu hati menggembleng tenaga
tanpa rasa jemu untuk mengawal gejala penyalahgunaan dadah yang berbahaya ini.
Sampaikah hati kita melihat generasi negara kita akan datang ibarat mayat hidup
yang menjadi hamba dadah? Adakah wajar kita berpeluk tubuh sahaja? Relakah
kita, membiarkan ketamadunan bangsa yang dibina lebih setengah abad ini runtuh
akibat dadah durjana? Oleh itu, kita hendaklah bertindak secara drastik dan
proaktif, janganlah sudah terhantuk, baru nak tengadah.
b) Membuat
ramalan.
Penutup jenis ini memerlukan
penulis mengjangkakan akibat sesuatu keadaan. Namun begitu, ramalan berkenaan
harus logik kerana ramalan yang tidak logik akan merosakkan keseluruhan
karangan.
Contoh: Cara untuk menangani penyalahgunaan dadah di
Malaysia.
Saranan
|
Ø
marilah kita menggembleng tenaga tanpa rasa
jemu untuk mengawal gejala penyalahgunaan dadah yang berbahaya ini.
|
Ramalan 1 (kesan)
|
Ø
kita tidak menangani wabak ini secara kolektif
serta penuh rasa tanggungjawab, besar kemungkinan gejala ini tidak dapat
dikawal lagi.
|
Ramalan 2 (kesan)
|
Ø
mungkin setiap keluarga akan mempunyai
sekurang-kurangnya seorang ahli yang terlibat.
|
Ramalan 3 (kesan)
|
Ø
keadaan ini berlaku, segala-galanya sudah
terlewat dan mungkin kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi.
|
Peribahasa
|
Ø
Nasi sudah menjadi bubur.
|
Contoh
huraian:
Tuntasnya, marilah kita bersatu hati menggembleng tenaga
tanpa rasa jemu untuk mengawal gejala penyalahgunaan dadah yang berbahaya ini.
Jika kita tidak menangani wabak ini secara kolektif serta penuh rasa
tanggungjawab, besar kemungkinan gejala ini tidak dapat dikawal lagi.
Implikasinya, mungkin setiap keluarga akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang
ahli yang terlibat dalam kebejatan moral berkenaan. Apabila keadaan ini
berlaku, segala-galanya sudah terlewat dan mungkin kita tidak dapat berbuat
apa-apa lagi kerana nasi sudah menjadi bubur.
c) Membuat
cadangan.
Penutup jenis ini hanya sesuai
jika soalan tidak meminta isi tentang cadangan/ langkah/ usaha penyelesaian.
Seperti membuat ramalan, cadangan juga mesti logik dengan tajuk.
Contoh: Punca-punca penyalahgunaan dadah di Malaysia.
Cadangan 1
|
Ø
semua
pihak perlulah memainkan peranan masing-masing.
|
Cadangan
2
|
Ø
satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh
masyarakat setempat hendaklah ditubuhkan dengan menganjurkan pelbagai
prakarsa ke arah membanteras penyalahgunaan dadah
|
Harapan
|
Ø
membebaskan warga Malaysia daripada najis
dadah.
|
Peribahasa
|
Ø
Hidup tanpa dadah, negara sejahtera.
|
Contoh
huraian:
Konklusinya, bagi memastikan gejala yang berbahaya ini tidak
merebak menjadi barah dalam masyarakat, semua pihak perlulah memainkan peranan
masing-masing secara efektif. Antaranya, suatu jawatankuasa khas yang
dianggotai oleh masyarakat setempat hendaklah ditubuhkan dengan menganjurkan
pelbagai prakarsa ke arah membanteras penyalahgunaan dadah seperti penganjuran
Kempen Antidadah. Tegasnya, kita mengharapkan agar keseriusan semua pihak ini
akan membebaskan warga Malaysia daripada najis dadah. Sesungguhnya, hidup tanpa
dadah, negara sejahtera.
d) Rumusan
kronologi.
Bagi menghasilkan rumusan jenis
ini, penulis perlu merumuskan segala idea/ isi yang telah dikemukakan satu
persatu secara urutan. Idea/isi itu hendaklah diringkaskan dan diubah suai
daripada idea/isi yang telah dinyatakan dalam perenggan isi.
Contoh
soalan: Cara untuk menangani penyalahgunaan dadah di Malaysia.
Saranan
|
Ø
marilah kita bersatu hati menggembleng tenaga
tanpa rasa jemu untuk mengawal gejala penyalahgunaan dadah yang berbahaya ini
|
Isi
perenggan 1
|
Ø
Ibu bapa memantau tindak-tanduk anak-anak.
|
Isi
perenggan 2
|
Ø
Guru-guru perlulah cakna terhadap perubahan
tingkah laku para pelajar.
|
Isi
perenggan 3
|
Ø
Penduduk setempat harus prihatin terhadap
aktiviti golongan muda-mudi di tempat mereka.
|
Harapan
|
Ø
masalah ini akan dapat dibendung.
|
Peribahasa
|
Ø
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat; akar umbi
|
Contoh
huraian:
Deduksinya, marilah kita bersatu hati menggembleng tenaga
tanpa rasa jemu untuk mengawal gejala penyalahgunaan dadah yang berbahaya ini
Oleh itu, ibu bapa hendaklah memantau anak-anak bagi memastikan anak-anak
mereka terhindar daripada gejala negatif ini. Di samping itu, guru-guru
perlulah cakna terhadap perubahan tingkah laku para pelajar mereka. Sementara
itu, penduduk setempat harus prihatin terhadap aktiviti golongan muda-mudi di
tempat mereka terutama yang boleh menimbulkan kecurigaan. Dengan adanya budaya
bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, sudah pasti masalah
ini akan dapat dibendung sehingga ke akar umbi.
LATIHAN MEMBINA PERENGGAN PENUTUP.
Soalan latihan:
Kemajuan
bidang teknologi maklumat dan komunikasi semakin pesat sehingga mengubah gaya
hidup masyarakat di seluruh dunia. Bincangkan kesan kemajuan bidang berkenaan
kepada gaya hidup masyarakat di Malaysia.
Senarai
isi:
1. Membentuk
masyarakat yang bermaklumat
2. Masyarakat
dapat berhubung secara global
3. Mewujudkan
masyarakat yang tidak bermoral
4. Kurang
kemahiran berkomunikasi dan bersosial
Latihan 1: Meninggalkan pembaca dengan soalan.
Tips/ Panduan:
Ø ICT mendatangkan kesan positif dan
negatif - oleh itu, tinggalkan pembaca dengan persoalan seperti wajarkah
pengaruh negatif ICT dibiarkan sebegitu sahaja? Sanggupkah kita membiarkan
pengaruh negatif ICT membelenggu kehidupan masyarakat?
Latihan 2: Membuat ramalan.
Ø
Tips/
panduan:
Ø Anda perlu meramalkan keadaan gaya
hidup masyarakat pada masa hadapan kesan baik kemajuan ICT. Ramalkan juga,
impak yang mungkin akan berlaku jika unsur negatif ICT tidak dikawal.
Latihan 3: Membuat cadangan
Tips/ panduan:
Ø Anda boleh menyatakan cadangan yang
boleh dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan setiap anggota masyarakat tidak
ketinggalan dalam arus kemajuan ICT. Nyatakan juga cara untuk memastikan
unsur-unsur negatif ICT tidak menggugat gaya hidup positif masyarakat.
Latihan 4: Rumusan kronologi.
Tips/pedoman:
Ø Anda perlu membuat rumusan terhadap
setiap ayat topik perenggan isi supaya menjadi suatu kronologi huraian
perenggan kesimpulan yang menarik.
5.0 PENANDA WACANA DALAM PENULISAN.
Apakah itu penanda wacana?
Ø
Sekumpulan kata untuk menghubungkan dua ayat dan
antara perenggan supaya dapat membentuk perkaitan dan pertalian antara suatu
ayat dengan ayat atau ayat-ayat sebelumnya lalu membentuk satu aliran huraian
yang logik serta sistematik.
Ø
Penanda wacana yang lazim digunakan ialah kata
penyambung ayat/ kata hubung/ frasa penghubung, kata ganti nama,
sinonim,antonim, pengulangan, unsur bersambutan,dan hubungan lokasi/konteks.
Ø
Penggunaan penanda wacana yang kurang tepat atau
ketiadaan langsung penanda wacana akan menyebabkan keseluruhan wacana/penulisan
tiada kesatuan dan perpautan yang tepat.
Ø
Penanda wacana turut berfungsi untuk membina
kohensi dan koheren dalam penulisan.
Apakah pengertian kohensi?
Ø
Nik Safiah Karim , et. al. (2009). mentakrifkan kohesi sebagai ciri
wacana yang membawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan
unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang
lengkap. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara suatu
perkataan, frasa dengan ayat, dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam
wacana yang sama. Selain itu, kohesi juga boleh ditakrifkan sebagai kesepaduan
ayat dari segi hubungan antara ayat dalam sesebuah wacana. Hubungan ini dilihat
dari segi penggunaan kata ganti nama diri, penggantian, elipsi, kata hubung dan
ciri leksikal. (Mohd. Dahalan et. al., 2003).
Apakah pengertian koheren?
Ø
Koheren pula yang dikenali sebagai runtutan,
merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga
menjadikan teks itu bermakna. (Nik Safiah Karim, et.al, 2009). Hal ini bermakna
koheren(runtutan) merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana tanpa makna,
teks tidak dianggap sebagai wacana. Mohd. Dahalan et.al (2003) telah
mentakrifkan koheren sebagai kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah
wacana seperti antara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan, atau bab
dengan bab. Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Moh Nor (2007), mendefinisikan
koheren sebagai hubungan padu antara unsur yang membina perengggan seperti
perkataan, ayat tesis, ayat topik, ayat sokongan dan huraian, dan kepaduan
wacana yang turut dibina oleh peralihan atau penanda wacana yang
menggabungjalinkan antara perenggan.
5.1 JENIS-JENIS PENANDA WACANA.
Terdapat banyak jenis penanda wacana yang boleh
dikelompokkan berdasarkan tujuan atau fungsinya.
TUJUAN
|
KATA HUBUNG/ FRASA PENGHUBUNG
|
Menghurai
|
kini, tambahan pula, dalam hal ini, untuk
Cth: Kita hendaklah mendengar nasihat ibu bapa. Merekalah
yang mendidik dan membesarkan kita. Tambahan pula, mereka
terlebih dahulu makan garam.
|
Menegas
|
sesungguhnya, sebenarnya, yang paling utama
Cth: Sesungguhnya, kejadian bencana alam
yang melanda akibat kerakusan manusia mengeksploitasi sumber alam. Manusia
tanpa belas menggondolkan hutan, meratakan bukit bukau atas nama
pembangunan.
|
Menilai
|
kecuali, tetapi, namun, bagaimanapun
Cth: Jika mahu mencapai kejayaan kita perlu berusaha
dengan tekun dan sabar. Namun kita perlu sentiasa berdoa
kerana manusia hanya mampu merancang, tuhan sahaja yang menentukan.
|
Memapar/ memberikan contoh
|
sebagai contoh, misalnya, tamsilannya.
Cth: Kebejatan akhlak dalam kalangan remaja semakin
ketara kebelakangan ini. Sebagai contoh, jumlah remaja yang
merempit semakin bertambah.
|
Menambah
|
seterusnya, juga, lagi pun, kemudian, tambahan pula,
sekali lagi, bertitik tolak.
Cth: Daud berasa malu untuk meminta simpati daripada Tuan
Bakar. Tambahan pula, Tuan Bakar selalu menghinanya. Bertitik tolak daripada itu,
dia berasa maruahnya akan diinjak-injak oleh Tuan Bakar jika dia meminta
pertolongan daripada Tuan Bakar.
|
Membanding
|
sebaliknya, sehubungan itu, selain itu, walau
bagaimanapun, namun demikian.
Cth: Pencapaian cemerlang negara dalam sukan badminton
sebelum ini sukar ditandingi, namun kini semakin jauh
ketinggalan berbanding negara Asia yang lain.
|
Mengakui
|
walaupun, jelaslah, akhirnya, namun
Cth: Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan OKU
dengan menyediakan peruntukan yang banyak dalam belanjawan tahun ini. Jelaslah
bahawa kerajaan sentiasa prihatin akan golongan ini.
|
Menyatakan akibat
|
oleh itu, akibatnya, jadi.
Cth: Ada juga remaja yang berfikir bahawa mereka harus
merebut peluang untuk menceburi bidang glamor pada usia yang muda. Akibatnya,
banyak yang bersikap sambil lewa akan kepentingan pelajaran.
|
Membuat turutan
|
selepas itu, kemudian, lebih awal dari itu, lebih penting
lagi, akhirnya, pertamanya,
Cth: Perjalanan kami di kota Delhi tidak terhenti setakat
membeli pakaian di bazar sahaja. Lebih awal daripada itu kami
turut membelek pelbagai buku di kedai-kedai buku yang tidak terhitung di
situ.
|
TUJUAN
|
KATA HUBUNG/ FRASA PENGHUBUNG
|
Menyatakan masa
|
dewasa ini, sementara itu, semenjak itu, sebelum itu, pada
mulanya.
Cth: Dewasa ini masalah kegemukan dalam
kalangan warga Malaysia semakin meningkat. Pada masa yang sama
risiko dihidapi penyakit yang berkaitan dengan kegemukan turut tinggi.
|
Merumus/ menyimpul
|
ringkasnya, pendek kata, pada keseluruhannya,
kesimpulannya, dapatlah disimpulkan. tuntasnya. intihanya, konklusinya,
deduksinya,
Cth: Akhir kata, marilah kita bersama-sama
mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan sehari-hari.
|
Maksud umum
|
secara khususnya, lazimnya, umumnya, dengan itu, selaras
dengan itu.
Cth: Warga tempatan hendaklah menyokong industri
pelancongan domestik. Selaras dengan itu, mereka mestilah
mengutamakan melancong di dalam negara daripada di luar negara.
|
6.0 PENGGUNAAN SINONIM DALAM PENULISAN.
Istilah sinonim dari segi linguistik bermaksud kata yang
sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain atau kata seerti. (Kamus Dewan,
Edisi Keempat, 2008).
Penggunaan
sinonim dapat mempercepat proses penulisan, di samping mewujudkan gaya
penulisan yang berkesan. Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati sewaktu
menggunakan sinonim dalam membentuk wacana kerana pemilihan sinonim yang kurang
tepat boleh menimbulkan keraguan dan pembentukan konotasi yang berlainan
daripada yang diingini. Natijahnya, perenggan menjadi lemah dan kurang
berkesan. (Roselan Baki, 2003). Maka, terdapat beberapa kaedah untuk membina
perenggan yang koheren menggunakan unsur sinonim.
6.1 Membina
koheren menggunakan kata yang bersinonim.
Apabila seseorang menulis
menggunakan kata yang sama sahaja maka, hal itu boleh menimbulkan kebosanan
kepada pembaca, di samping menunjukkan seolah-oleh seseorang penulis itu
mempunyai kosa kata yang terhad. Oleh yang demkian, satu cara bagi mengatasi
masalah ini adalah dengan menggunakan kata yang bersinonim. Penggunaan
kata-kata yang bersinonim akan menggambarkan kekayaan penguasaan kosa kata oleh
penulisnya. Seterusnya, cuba perhatikan contoh-contoh penggunaan kata
bersinonim berikut:
Contoh 1.
Penggunaan
herba Tongkat Ali memang tidak asing lagi dalam kalangan kaum lelaki untuk meningkatkan tenaga terutama tenaga dalaman.
Obsesi kaum Adam terhadap produk
ini menyebabkan permintaannya semakin meningkat sejak dasawarsa belakangan.
Golongan suami mahupan teruna sering menjadikan produk ini
sebagai amalan harian mereka terutama sebagai minuman tenaga.
|
Dalam
contoh di atas, kata kaum lelaki digantikan dengan kata bersinonim yang merujuk
kepada gender lelaki seperti kaum Adam, suami dan teruna.
Contoh 2.
Sikap tidak
bertanggungjawab dalam kalangan pengusaha industri mengalirkan sisa toksik ke
dalam sungai merupakan antara punca pencemaran
sungai. Sungai yang dahulunya sungguh bersih dan selamat untuk digunakan
oleh orang ramai kini telah ternoda
oleh bahan kimia berbahaya seperti raksa. Tambahan lagi, kejernihan air
sungai turut dicela oleh warna
kecoklatan atau kehitaman cecair beracun berkenaan. Tidak cukup dengan itu,
kadang kala sungai yang mengalir mengeluarkan bau yang menjelikkan deria bau masyarakat umum.
|
Dalam contoh 2 pula, konsep pencemaran telah ditukargantikan
dengan beberapa kata yang bersinonim seperti ternoda, dicela dan menjelikkan.
6.2 Membina koheren menggunakan frasa yang
bersinonim.
Dalam
pada itu penggunaan sinonim tidak terhad pada kata sahaja, malahan frasa yang
bersinonim juga mampu menghasilkan perenggan yang koheren. Frasa-frasa yang
dipilih lazimnya mewakili konsep yang sama makna. Perhatian contoh-contoh
perenggan berikut.
Contoh 1.
Tidak dapat
dinafikan bahawa wang merupakan faktor utama yang mendorong seseorang itu
terlibat dalam kegiatan jenayah.
Ada segelintir manusia yang sanggup berbuat apa-apa sahaja demi mendapatkan
wang tanpa perlu bersusah-payah. Mereka rela terjebak dalam perbuatan yang menyalahi undang-undang,
seperti merompak, pecah amanah, meragut, dan mencuri. Kebejatan moral yang mulai menguasai insan yang lemah iman ini
harus ditangani agar tidak menjadi suatu wabak dalam masyarakat moden hari
ini.
|
Frasa
perbuatan yang menyalahi undang-undang dan kebejatan moral yang digunakan dalam
perenggan karangan di atas secara jelas mempunyai konsep yang bersinonim iaitu
perbuatan jenayah.
Contoh 2.
Anak-anak
merupakan amanah daripada Tuhan kepada ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mesti
bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak mereka berakhlak mulia. Kegagalan ibu bapa melaksanakan amanah yang
dipertanggungjawabkan itu menyebabkan mereka akan dipersalahkan jika
anak-anak mereka terbabit dalam pelbagai gejala sosial yang sedang berkembang
biak. Seyogia, ibu bapa patut mencanai anak-anak mereka menjadi generasi madani yang mampu menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa
hadapan . Jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting
dalam pembentukan disiplin anak-anak untuk menjadi modal insan yang berkualiti.
|
Dalam
perenggan di atas pula, frasa berakhlak mulia, generasi madani, pemimpin yang
berwibawa dan modal insan yang berkualiti merupakan frasa-frasa yang mempunyai
konsep yang sama makna atau bersinonim bagi maksud sikap yang baik.
6.3 Membina
koheren menggunakan peribahasa yang bersinonim.
Dalam
penulisan karangan, penggunaan unsur-unsur keindahan bahasa yang koheren dalam
wacana mampu menghasilkan karangan yang cemerlang misalnya, penggunaan
peribahasa termasuklah bidalan, pepatah dan kata-kata hikmat. Biasanya, penulis
boleh menggunakan peribahasa yang sama maknanya dengan kata atau frasa dalam
ayat sebelumnya bagi menimbulkan kesan yang lebih mendalam kepada pembaca.
Sebagai contoh, perhatikan penggunaan peribahasa yang bersinonim dalam
perenggan berikut.
Contoh 1.
Selain itu, usaha memelihara dan memulihara
warisan sejarah wajar diiringi dengan usaha mengajak masyarakat umum untuk
turut serta secara langsung kerana kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.. Kita tidak mahu warisan
sejarah ini sekadar menjadi bahan pameran di muzuim-muzium yang hanya
ditonton sahaja oleh para pengunjung atau hanya dipusakai oleh generasi tua
sahaja. Sudah tiba masanya, masyarakat umum diajak menyertai ekspedisi
ekskavasi seperti yang dilakukan oleh Jabatan Muzium Perak di tapak candi
Lembah Bujang. Hal ini secara tidak langsung akan memberi pengalaman baru
kepada umum untuk lebih menghargai warisan sejarah sebagai khazanah bangsa
yang harus dipertahankan agar tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek
panas dan mampu menokah arus pemodenan.
|
Dalam
contoh perenggan di atas, peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan
dapat sagunya sama maksudnya dengan usaha memelihara dan memulihara warisan
sejarah. Sementara, peribahasa tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas
bersinonim dengan maksud harus dipertahankan.
Contoh 2.
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan peristiwa
berdarah yang mahu dihindari daripada berulang lagi. Persengkataan antara
kaum yang terjadi telah mengorbankan banyak nyawa dan memusnahkan banyak
harta benda lantaran tiadanya perasaan perpaduan antara kaum. Oleh yang
demikian, perpaduan amat penting bagi mengelakkan
sebarang persengketaan
yang tidak menguntungkan mana-mana pihak kerana yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang. Lebih
malang lagi, rakyat jelata juga yang hidup menderita kerana gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati
di tengah-tengah.
|
Penggunaan
peribahasa kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang serta gajah sama
gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah dalam perenggan di atas jelas
bersinonim dengan maksud persengketaan yang tidak menguntungkan.
7.0 PENGGUNAAN ANTONIM DALAM PENULISAN.
Antonim ialah perkataan atau
rangkai kata yang bertentangan maksud. (Roselan Baki, 2003). Sementara itu dari
segi linguistik, antonim ialah kata yang berlawanan maknanya dengan kata lain.
(Kamus Dewan, 2008). Berdasarkan kedua-dua takrif antonim tersebut, dapatlah
dirumuskan bahawa penggunaan antonim berlawanan dengan penggunaan sinonim dalam
wacana. Jika penggunaan sinonim mewujudkan pertautan antara ayat-ayat yang
membawa maksud yang sama, maka
penggunaan antonim sudah pasti ghalibnya untuk tujuan pertentangan atau
berlawanan maksud. Dalam penghasilan wacana, perkara ini pasti berlaku kerana
dalam kehidupan seharian, kita sememangnya sering membandingkan atau
membincangkan perkara yang berlawanan. (Zamri Salleh, 2010).
7.1 Membina koheren menggunakan kata yang
berantonim.
Dalam
Bahasa Melayu terdapat banyak kata yang berantonim misalnya,
i.
jauh - dekat,
ii.
miskin - kaya,
iii.
tua - muda,
iv.
tinggi - rendah
v.
sunyi - bising
Penggunaan
antonim akan menghasilkan suatu unsur pertentangan dalam sesuatu wacana
berkenaan. Misalnya, penggunaan antonim tinggi
dan rendah dalam perenggan berikut:
Antara faktor
yang mendorong para majikan tempatan lebih suka menggunakan tenaga buruh
asing ialah perbezaan gaji. Pekerjaan tempatan lazimnya akan menuntut gaji
yang tinggi berserta dengan
pelbagai kemudahan yang lain seperti doktor panel dan elaun. Hal itu, sudah
pasti akan membebankan para majikan terutama majikan yang memperoleh margin
keuntungan yang kecil. Oleh itu, bagi mengurangkan kos, majikan tempatan akan
beralih kepada pekerja asing yang bersedia untuk bekerja walaupun dengan upah
yang rendah.
|
Selain
itu, penggunaan antonim kadang kala akan mewujudkan kesan ironi dalam sesuatu
wacana. Misalnya, penggunaan antonim sunyi
dan bising dalam contoh berikut.
Entah
mengapa, pada malam itu dia terasa benar-benar sunyi. Kesunyian membelenggu dirinya yang bersendirian di dalam
bilik kecil yang bersaiz 4 X 8 kaki itu yang hanya memuatkan sebuah katil
bujang dan sebuah meja tepi. Jiwanya yang sunyi itu hanya ditemani oleh bunyi bising kenderaan yang bertali arus di jalan raya di hadapan kamar
sewaannya itu.
|
Penggunan
antonim sunyi dan bising dalam perenggan di atas jelas mewujudkan unsur ironi
kerana pada realitinya suasana itu tidaklah sunyi dalam erti kata yang
sebenarnya kerana ada bunyi bising daripada kenderaan yang lalu lalang.
7.2 Membina koheren menggunakan frasa yang
berantonim.
Penggunaan
antonim tidak terbatas pada kata sahaja, malah frasa yang mengandungi unsur
antonim juga boleh digunakan untuk membina perenggan yang koheren. Contohnya,
dalam perenggan berikut.
Pada zaman
pancamerdeka kini, semangat kejiranan masih
diamalkan oleh masyarakat kampung
dalam kehidupan seharian mereka. Budaya kunjung-mengunjung dan
bergotong-royong masih subur dalam
dairi kehidupan mereka. Namun sayang seribu kali sayang, semangat ini makin luntur dan tidak diamalkan oleh masyarakat
bandar lantaran kesibukan mereka mengejar kebendaan yang tidak pernah
berkecukupan.
|
Dalam
petikan di atas frasa masih diamalkan berantonim dengan frasa tidak diamalkan,
masyarakat kampung pula merupakan antonim bagi frasa masyarakat bandar, dan
frasa masih subur ialah antonim bagi frasa makin luntur.
7.3 Membina koheren menggunakan peribahasa yang
berantonim.
Penggunaan
peribahasa yang berantonim bermaksud menggunakan peribahasa untuk menerangkan
suatu situasi yang bertentangan dalam sesuatu wacana. Oleh itu penggunaan
peribahasa yang bertentangan dari segi maksudnya juga dapat mewujudkan koheren
dalam wacana. Perhatikan contoh yang berikut.
Selain itu,
kami juga merayu agar pihak tuan dapat menggunakan kuasa yang ada pada pihak
tuan untuk mendesak pihak Jabatan
Parit dan Saliran agar bertindak secara proaktif untuk meningkatkan keberkesanan kerja-kerja
penyelenggaraan sistem perparitan di kampung kami. Usahlah bertindak
secara melepaskan batok di tangga sahaja. Biarlah kerja-kerja penyelenggaraan itu
dijalankan secara bersungguh-sungguh kerana alang-alang berdakwat biarlah hitam. Pihak kami bersedia membantu
pihak jabatan untuk meningkatkan
kesedaran kepada penduduk kampung agar bersama-sama menjaga kebersihan
dan kelancaran sistem perparitan itu. Hal ini disebabkan ada segelintir
penduduk kampung yang bersikap ambil mudah dengan membuang sampah ke dalam
parit-parit berkenaan.
|
Kedua-dua
peribahasa di atas mempunyai maksud yang berbeza iaitu melepaskan batok di
tangga bermaksud melakukan sesuatu dengan tidak bersungguh-sungguh. Sementara
itu, maksud peribahasa alang-alang berdakwat biarlah hitam bermaksud berbuat
sesuatu jangan alang kepalang.
8.0 KESIMPULAN
Kemahiran menulis terutama karangan
merupakan kemahiran aras tertinggi dalam kemahiran berbahasa. Oleh itu, kemahiran
ini perlu digabungjalinkan dengan kemahiran lisan dan membaca yang akan
membantu meningkatkan kemahiran dalam penulisan. Kemahiran ini perlu dilatih
melalui pelbagai pendekatan, antaranya ialah pendekatan berstruktur dan proses.
Pendekatan berstruktur melibatkan kemahiran membina perenggan pendahuluan, isi
dan penutup. Sementara, pendekatan proses menyarankan bahawa proses penulisan
melibatkan beberapa proses seperti pengumpulan maklumat, penulisan draf, proses
pengeditan, penulisan draf akhir dan seterusnya persembahan karangan berkenaan
setelah dinilai. Tuntasnya, pengajaran dan pembelajaran aspek kemahiran menulis
perlu dilaksanakan dalam keadaan yang santai agar pelajar bermotivasi untuk
menghasilkan penulisan yang bermutu, bukannya ‘buat asal siap’.